ARKIB : 25/12/2008
Oleh FERZALFIE FAUZI
SHUKOR Adan (dua dari kiri)
bersama-sama Aidil Zafuan Abdul Radzak (kanan) dilihat bersama-sama pasukan
Negeri Sembilan selepas perlawanan persahabatan bola sepak dengan MBJB-FC di
Johor Bahru, kelmarin. - Gambar ISHAK RAHMAD
KUALA LUMPUR - Terkejut! Itulah
reaksi ketua pasukan bola sepak negara, Shukor Adan apabila mendengar laporan
sebuah televisyen tempatan yang menyatakan dia sedang mencari pasukan baru
semalam.
Bekas pemain Selangor itu
menerima panggilan telefon bertalu-talu menanyakan tentang statusnya sedangkan
dia sudah menandatangani kontrak bersama pasukan Negeri Sembilan sebelum
menyertai Kejohanan Piala Suzuki AFF di Phuket, Thailand awal bulan lepas.
''Saya tidak ada kena mengena
dengan pasukan Brunei DPMM yang menghadapi masalah pembatalan pendaftaran
persatuan bola sepak negara itu Pendaftar Pertubuhan Brunei,'' katanya yang
dihubungi Utusan Malaysia semalam.
Jelasnya, laporan yang
dipaparkan sebuah televisyen tempatan itu mungkin tersilap dan terdapat sedikit
kekeliruan.
''Sebelum ini berita mengenai
saya menandatangani kontrak bersama Negeri Sembilan sudah terpampang di
beberapa akhbar tempatan.
''Saya memang ada dikaitkan
dengan perpindahan ke kelab Brunei itu tetapi ia masih belum disahkan lagi
sehinggalah saya menandatangani kontrak dengan pasukan Negeri Sembilan,''
katanya yang kini berada di Johor menghadapi beberapa perlawanan persahabatan
bersama skuad Rusa itu.
Katanya, dia menganggap apa
yang dilaporkan televisyen tempatan itu kesalahan biasa berikutan sesiapa pun
pernah melakukan kesilapan.
''Mungkin mereka tidak tahu
mengenai status saya yang terkini, tidak mengapa... saya anggap ini satu
kesilapan biasa,'' kata Shukor.
Musim lalu Shukor bermain
bersama pasukan Gergasi Merah bagaimanapun digugurkan dari pasukan tersebut
bersama Indra Putra Mahayuddin, Akmal Rizal Rakhli, Nuraizat Aziz, Wan Hoesne
Wan Hussein dan Megat Amir Faisal Al Khalidy Ibrahim.
Semalam akhbar melaporkan
Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengesahkan pasukan Brunei DPMM tidak akan
menyertai Liga Malaysia 2009 ekoran masalah pembatalan pendaftaran persatuan
bola sepak negara itu.
Setiausaha Agung FAM, Datuk
Azzuddin Ahmad berkata, FAM membuat keputusan menolak penyertaan Brunei DPMM
dalam satu mesyuarat di Wisma FAM, Kelana Jaya baru-baru ini.
Menurut Azzuddin, keputusan
untuk tidak membenarkan Brunei DPMM menyertai Liga Malaysia musim depan selaras
dengan peraturan yang ditetapkan oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa
(FIFA).
''FIFA mensyaratkan setiap
kelab bola sepak perlu mendapat kelulu san dari persatuan induk negara
masing-masing dan mendapat kelulusan daripada Perdaftaran Pertubuhan,"
katanya.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=1225&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz51EnDgrpB
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan