Selasa, 12 Disember 2017

Shukor intai pasukan baru

ARKIB : 01/11/2008
Oleh ABDUL HAFIZ AHMAD
KUALA LUMPUR - Ketua pasukan negara, Shukor Adan menganggap dia kini 'bergelut dengan masa' untuk menjamin mata pencariannya sebagai pemain bola sepak profesional apabila cuma DPMM Brunei yang sanggup berunding mendapatkan khidmatnya bagi menghadapi musim baru Liga Malaysia, Januari ini.

Dia yang tidak lagi disambung kontrak oleh Selangor selepas menyarung jersi Merah Kuning itu selama lima musim, berkata kepada Utusan Malaysia: "Sukar untuk saya pastikan bersama DPMM kerana belum menandatangani apa-apa kontrak, apa pun hanya pasukan itu yang nampaknya berminat dengan saya."

Shukor, 29, juga berharap dapat menamatkan tanda tanya haluan barunya itu dalam tempoh dua minggu mulai bulan ini kerana dia bakal sibuk bersama persediaan skuad negara untuk menghadapi Piala Cabaran Grand Royal di Yangon, Myanmar dan Piala Suzuki AFF di Thailand selepas itu.

"Ini soal masa depan dan sumber pendapatan saya. Walau macam mana pun, saya perlu selesaikan segera pada awal atau pertengahan November ini," katanya yang mengetuai skuad negara sejak Ogos tahun lalu tetapi kempunan kejuaraan Pestabola Merdeka 2008 selepas kecundang dengan Vietnam, Sabtu lalu.

Kata Shukor, rundingan lanjut dengan pegawai DPMM Brunei tertangguh mungkin kerana kesibukan skuad negara menghadapi Pestabola Merdeka manakala skuad kebangsaan dari Borneo itu juga sibuk melakukan persediaan pada perlawanan Kelayakan Piala Suzuki AFF di Kemboja pada masa yang sama.

Anak jati Melaka ini yang turut pernah mewakili Negeri Sembilan pada awal karier Liga M, juga menolak andaian bahawa banyak pasukan enggan menawarkan kontrak kepadanya kerana bimbang dia meletak tanda harga gaji bulanan yang terlalu tinggi dan tidak mampu dipenuhi.

"Macam mana boleh orang katakan saya cuba meletak harga yang tinggi. Berunding dengan saya pun tidak pernah. Saya pun tahu setakat mana nilai pasaran bola sepak kita tetapi mungkin pasukan di negara ini sendiri yang sudah tidak berminat dengan saya," katanya merendah diri.

Boleh dikatakan hanya Shukor selaku pemain negara yang belum mengesahkan pasukan liganya sedangkan rakan sepasukan lain seperti Indra Putra Mahayuddin yang turut dikaitkan dengan DPMM Brunei sebelum ini, sudah pun memilih Kelantan - sebuah pasukan Liga Perdana.

Bek tengah senior, Norhafiz Zamani Misbah pula meninggalkan Pahang untuk menyertai KL PLUS bersama-sama bek kiri, Irwan Fadzli Idrus yang berhijrah dari UPB-MyTeam manakala pemain tengah Perak, Hardi Jaafar hampir pasti menyertai Selangor - bekas pasukan Indra dan Shukor.

DPMM Brunei atau Duli Pengiran Muda Mahkota Brunei sekadar menduduki tempat ke-10 daripada persaingan 13 pasukan Liga Super musim 2007- 2008, dilatih oleh Vjeran Simunic dari Croatia dan memiliki ramai pemain kebangsaan Brunei yang gagal melepasi pusingan kelayakan Piala Suzuki AFF di Kemboja.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=1101&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_08.htm#ixzz512RvmcGP

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan