ARKIB : 26/10/2008
Oleh ABDUL HAFIZ AHMAD DAN
FERZALFIE FAUZI
Pemain-pemain Vietnam meraikan
kejayaan menjuarai Pestabola Merdeka manakala pemain Malaysia sugul selepas
tewas 6-5 menerusi penentuan sepakan penalti pada perlawanan akhir di Stadium
Nasional, Bukit Jalil, malam tadi
KUALA LUMPUR Malaysia gugur
pada halangan terakhir dalam usaha mempertahankan kejuaraan bola sepak
Pestabola Merdeka apabila dikejutkan oleh skuad belia Vietnam 6-5 menerusi
sepakan penentuan penalti setelah terikat tanpa jaringan termasuk dalam masa
tambahan.
Kekalahan yang mencalarkan
maruah ini turut mencetuskan keraguan sama ada skuad negara bimbingan B.
Sathianathan mampu menggalas cabaran pada Kumpulan B Piala Suzuki AFF di
Thailand, Disember ini yang turut disertai skuad senior negara Indochina itu.
Di depan hampir 50,000 penonton
perlawanan akhir di Stadium Nasional, Bukit Jalil termasuk hampir 1,000
warganegara asing itu, skuad pelawat bimbingan Mai Duc Chung membawa pulang
trofi kejohanan edisi ke-40 itu selain ganjaran RM35,000 selaku juara.
Tuan rumah yang menguasai
daripada 90 minit masa sebenar sehingga 120 minit kesemuanya, terpaksa menyerah
dengan sepakan penalti bek tengahnya, Norhafiz Zamani Misbah yang ditepis
penjaga gol lawan, Bui Tan Truong.
Mai Tien Thanh pula memastikan
kejuaraan milik Vietnam dengan menyudahkan sepakan keenam yang mencairkan
kekebalan penjaga gol Malaysia, Helmi Eliza Elias setelah mengharungi tiga
perlawanan tanpa bolos menentang Nepal, Sierra Leone dan Myanmar.
Kali terakhir Vietnam yang
ketika itu bergelar Vietnam Selatan menjuarai Pestabola ialah pada 1966 dengan
menewaskan Burma 1-0.
Minit ketiga menyaksikan
sepakan sudut Hardi Jaafar dari sebelah kanan, berjaya dikuis keluar penjaga
gol Vietnam, Bui Tan Truong untuk melegakan seketika kubu skuad Bawah 22 Tahun
negara Indochina itu.
Enam minit kemudian, Harimau
Malaya terus mengganas menerusi rembatan kencang bek tengah Aidil Zafuan Radzak
yang cuba naik membantu sejauh 30 meter yang tersasar beberapa inci dari tiang
gol Vietnam.
Gawang Vietnam tidak mampu
menahan gelora asakan anak didik B. Sathianathan sehingga dibocori dengan
tolakan kaki kanan Indra Putra Mahayuddin namun gol pada minit ketujuh itu
tidak dikira kerana ofsaid.
Skuad negara kembali menguji
Tan Truong pada minit ke-27 dan 29 menerusi tandukan ketua pasukan, Shukor Adan
dan penjaring utamanya, Safee Sali secara berturut-turut namun tidak juga mampu
menewaskannya.
Nasib Malaysia masih tidak
berbeza ketika Safee yang sempat mencuri bola, melakukan larian solo dengan
rembatan leretnya untuk menggerunkan seketika Vietnam pada minit ke-32, sekadar
tersasar sedikit daripada sasaran.
Setelah sekian lama penjaga
gol, Helmi Eliza Elias bersantai, ujian sulung Vietnam muncul menyapanya pada
minit ke-49 menerusi rembatan deras Hoang Dinh Tung tetapi terlalu tinggi dari
gawang Malaysia.
Giliran Irwan Fadzli Idrus pula
mencuba nasib terhadap Vietnam pada minit ke-65 dengan rembatan kencang jarak
jauhnya dan Tan Truong seperti tidak kenal penat dan jemu, terus menafikan
setiap serangan tuan rumah.
Kekangan kemas benteng Vietnam
turut menarik perhatian tetapi sedikit pertengkaran di luar padang dengan
pengadil, Chaiya Alee Mahapab dari Thailand tidak ketinggalan mewarnai aksi di
padang pada minit ke-71.
Gara-gara mempertikaikan
keputusan pengadil setelah berlaku satu insiden terhadap pemain Vietnam yang
tercedera, seorang pegawai pasukan pelawat dikenakan kad merah dan diusir
daripada bangku simpanan.
Permainan kekal tanpa jaringan
sehingga 90 minit masa sebenar namun Hairuddin Omar yang masuk menggantikan
Zaquan Adha Radzak, sempat merembat leret ke sebelah kanan gawang Vietnam dan
diselamatkan Tan Truong, seminit kemudian.
Pada minit ke-105, skuad negara
beroleh sepakan bebas beberapa meter dari petak penalti Vietnam tetapi
percubaan Indra masih tidak mampu memecahkan kebuntuan jaringan apabila mudah
disambut oleh Tan Truong.
Gol penting yang dicari-cari
Malaysia nyaris dapat ditemui dua minit kemudian daripada rembatan pemain
gantian, Khyril Muhymeen Zambri yang hanya terkeluar beberapa inci sekalipun
dapat menewaskan penjaga gol lawan.
MALAYSIA: Helmi Eliza Elias,
Norhafiz Zamani Misbah, Aidil Zafuan Radzak, Zaquan Adha Radzak (Hairuddin
Omar), Safee Sali, Shukor Adan, Indra Putra Mahayuddin, Daudsu Jamaluddin,
Hardi Jaafar (Ashaari Shamsuddin), Irwan Fadzli Idrus, Amirulhadi Zainal
(Khyril Muhymeen Zambri).
VIETNAM: Bui Tan Truong, Nguyen
Thanh Long Giang, Pham Minh Duc, Nguyen Tang Tuan (Trinh Quang Vinh), Hoang
Nhat Nam, Hoang Dinh Tung (Nguyen Duc Thien), Houng Danh Ngoc, Le Van Duyet,
Mai Xuan Hop, Nguyen Cong Huy, Phan Thanh Binh (Mai Tien Thanh).
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=1026&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz5112eAp42
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan