Isnin, 5 Disember 2016

Terengganu, KL tentukan juara Piala FA

ARKIB : 27/06/1999
TERENGGANU berpeluang menjulang kejuaraan bola sepak Piala FA buat pertama kali apabila melangkah ke perlawanan akhir selepas menewaskan Negeri Sembilan menerusi agregat 3-1.

Skuad Penyu yang berbekalkan dua gol pada perlawanan pertama di Kuala Terengganu, diikat 1-1 oleh pasukan tuan rumah pada separuh akhir kedua di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, semalam.

A. Ganeson membuka jaringan pelawat pada minit ke-23 sebelum penyerang kebangsaan, Zami Mohd. Nor menyamakan kedudukan menerusi sepakan penalti seminit sebelum tamat perlawanan.

Dengan keputusan itu, Terengganu yang dibimbing Yunus Alif akan menentang Kuala Lumpur pada perlawanan akhir, 4 Julai ini.

Manakala Kuala Lumpur berpeluang untuk mencatat sejarah sebagai pasukan pertama bergelar juara Piala FA buat kali ketiga.

Pasukan warga kota _ juara kejohanan 1993 dan 1994 _ layak ke akhir apabila menewaskan Sabah 1-0 secara agregat selepas seri tanpa jaringan pada separuh akhir kedua di Stadium Likas, semalam.

Kuala Lumpur menang 1-0 pada separuh akhir pertama di Cheras hasil jaringan bek kiri Mohd. Imran Ahmad.

Kejayaan Kuala Lumpur sekali gus menyingkir Sabah yang juga naib juara tahun lalu dalam persaingan ke akhir.

Sebaliknya, kemenangan pasukan bimbingan Mat Zan Mat Aris itu menjadi perangsang semangat sebelum bersaing dalam pertandingan berprestij, Piala Malaysia.

Bermain di tempat lawan, Penyu mempamerkan rentak konsisten sehingga Ganeson membuka jaringan menerusi tandukan ke kiri gawang.

Gol berpunca daripada tendangan percuma Rosli Omar sebelum Anuar Jusoh melakukan sepakan lambung ke arah Ganeson. Pemain tinggi lampai itu dengan mudah menanduk masuk ke gawang tanpa dapat diselamatkan oleh penjaga gol skuad Rusa, Azmin Azram Abdul Aziz.

Meskipun menurunkan ayam tambatannya, Zami, kekecewaan jelas terpancar di sudut pengurusan skuad Rusa apabila gerakan Zami sentiasa dikawal rapi.

Terengganu langsung tidak memberikan ruang kepada tuan rumah untuk membalas serangan sebaliknya skuad itu nyaris menambah derita Rusa pada minit ke-59.

Pemain gantian Khairudin Omar yang menggantikan Mohd. Nafuzi Mohd. Zain memperoleh peluang pada minit tersebut selepas berjaya melepasi dua pertahanan Rusa tetapi tendangannya tersasar.

Pada separuh masa kedua, skuad bimbingan Irfan Bakti mengubah corak permainan dengan hantaran-hantaran pendek sehingga nyaris merobohkan benteng skuad Penyu.

Namun pujian seharusnya diberikan kepada penjaga gol Penyu, Zubir Ibrahim yang bertindak cemerlang menyelamatkan beberapa percubaan bahaya Rizal Hassan, Zami dan Ahmad Shahrul.

Keadaan sudah terlambat bagi Negeri Sembilan untuk mencari kemenangan apabila pertukaran memasukkan Azmi dan Tuan Kamree ternyata gagal mengubah keputusan perlawanan sehinggalah jaringan penalti pada minit-minit terakhir.

Jaringan penalti skuad tuan rumah diperoleh selepas bola tendangan Khairul Anuar Baharom terkena tangan Rosdi Talib.

NEGERI SEMBILAN: Azmin Azram Aziz, B. Rajinikandh, Khairul Anuar Baharum, Ching Hong Aik (Nor Hisham Kamarudin), Ahmad Shahrul Azhar Sofian, Leong Hong Seng, Zami Mohd. Nor, Khairil Zainal, Shamsul Akmar (Tuan Kamree Tuan Yahaya), Rizal Hassan, Mohd. Shukor Adan (Azmi Mohamed).

TERENGGANU: Zubir Ibrahim, Roshadi Wahab, Abdul Ghani Malek, Sapian Abd. Wahid (Baharudin Ali), Rosdi Talib, Mohd. Nor Derus, Anuar Jusoh, A. Ganeson, (Zulrisham Awang) Mohd. Nafuzi Mohd. Zain (Khairudin Omar), Badrul Hisham Abdullah.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0627&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_03.htm#ixzz4RxTKzB5v © Utusan Melayu (M) Bhd

Sabtu, 3 Disember 2016

Shukor wira skuad Rusa

ARKIB : 27/05/1999
Shukor wira skuad Rusa
NEGERI Sembilan menarik nafas lega selepas menang bergaya 3-0 ke atas Pahang pada perlawanan suku akhir pertama bola sepak Piala FA di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, semalam sekali gus memperoleh bekalan selesa bagi perlawanan kedua di tempat lawan.

Mohd. Shukor Adan menjadi wira skuad Rusa dengan dua jaringannya pada minit ke-46 dan 86 manakala pemain pertahanan, Khairul Anuar Baharom menambah satu lagi gol pada minit ke-63.

Kemenangan pasukan bimbingan Irfan Bakti itu menebus dendam dimalukan Pahang 5-0 pada perlawanan liga sebelum ini.

Tidak banyak percubaan dilakukan Negeri Sembilan mahupun Pahang dalam perlawanan yang hambar.

Bagaimanapun, perlawanan tiba-tiba rancak pada babak kedua apabila Negeri Sembilan mendapat gol pembukaan seminit selepas permainan dimulakan.

Penyerang kebangsaan, Zami Mohd. Nor membuat umpanan cantik di dalam kotak penalti kepada Shukor yang tidak dikawal dan pemain tengah itu membuat rembatan leret ke sebelah tepi gawang yang gagal diselamatkan penjaga gol Pahang, Mudzar Mohamad.

Gol itu menambah semangat Negeri Sembilan yang menggandakan asakan ketika Pahang cuba mencari gol penyamaan.

Pada minit ke-63, Khairul bermain satu dua dengan Rezal Hassan dalam kotak penalti sebelum pemain pertahanan itu melepaskan tendangan kencang untuk menewaskan Mudzar buat kali kedua.

Pahang semakin tertekan sebaliknya, Rusa tambah garang apabila Shukor sekali lagi menemui sasaran empat minit sebelum tamat permainan menerusi cara jaringan yang serupa dengan gol pertama selepas mendapat hantaran Ahmad Shahrulazhar Sofian

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0527&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_07.htm#ixzz4RmQA9k6o © Utusan Melayu (M) Bhd

Jumaat, 2 Disember 2016

Negeri Sembilan sekat hajat Kedah

ARKIB : 12/05/1999
HASRAT Kedah (Kenari) untuk terbang menggapai awan biru kecundang jua selepas terkulai dibelasah Negeri Sembilan 0-2 pada perlawanan bola sepak Liga Perdana Satu di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, semalam.

Corak permainan keras yang dipamerkan oleh skuad Kenari tidak berkesan malah mudah dijinakkan dengan permainan kemas yang ditonjolkan oleh anak buah jurulatih Irfan Bakti.

Zami Mohd. Noor dan Azmi Mohamad muncul wira tuan rumah apabila memusnahkan impian Kedah pada minit-minit ke-25 dan 34.

Gol pertama Negeri berpunca daripada gerakan pantas Azmi yang berjaya mengelecek tiga pemain benteng Kedah sebelum membuat hantaran lambung kepada Zami.

Zami yang berada dalam keadaan sukar bagaimanapun mempamerkan kemahiran yang cukup menyaksikan sepakan libasnya menerjah gawang Kedah tanpa dapat diselamatkan oleh Amran Omar.

Belum pun Kenari dapat menarik nafas seketika, Negeri Sembilan sekali lagi menghukum lawannya dengan tambahan jaringan oleh Azmi pada minit ke-34.

Gol Azmi itu berpunca daripada hantaran Leong Hong Seng yang pada mulanya ditampan oleh Amran namun bola yang termuntah keluar pantas disambar Azmi untuk merembat kencang.

Kedah yang tenggelam punca ternyata terpaku dengan gerakan pantas jentera serangan Negeri Sembilan yang terus tidak memberi ruang untuk Kedah bertindak balas.

Kedah yang semakin terdesak untuk mencari gol mula mempamerkan rentak permainan keras sehingga pemain Negeri Sembilan tertekan akibatnya.

Desakan itu kian terasa apabila Kedah memasukkan Mohd. Sofi Mat Isa dan pemain veteran, Radhi Mat Din pada babak kedua permainan.

Kemasukan Radhi sedikit sebanyak mengubah rentak permainan pasukan pelawat apabila mereka mula mengatur asakan demi asakan.

Bagi mengimbangi semula keletihan beberapa pemain, Negeri Sembilan membawa masuk Effendy Malea dan Halim Jantan dengan mengeluarkan Azmi dan Shukor Adan.

Negeri Sembilan terus mengasak kubu Kedah pada minit terakhir permainan namun serangannya sering tersasar.

Semangat untuk menambah jaringan makin memuncak apabila pemain pertahanan Negeri Sembilan, Khairul Anuar Baharom dan Syamsul Akmar sering berlari ke tengah untuk membantu rakan lain.

Namun aksi menarik mereka hanya menghiburkan kira-kira 5,000 penonton tanpa berjaya mengubah keputusan sehingga wisel penamat dibunyikan.

Oleh: MEOR HARMAN MEOR SHAKRI

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0512&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_04.htm#ixzz4RkttHhdd © Utusan Melayu (M) Bhd