Oleh Omar Zin, Mei 26, 2018 6:30
pm

Kredit Foto: FourFourTwo
Kapten Felda United, Shukor Adan
dan kapten pasukan Kedah, Khairul Helmi Johari menganggap bermain bola sepak
pada bulan Ramadan bukanlah satu bebanan jika pemain bijak menyesuaikan diri
bagi memenuhi tuntutan sebagai umat Islam serta tanggungjawab sebagai pemain.
Jelas Shukor, ia juga sebenarnya
tidak menjejaskan prestasi seseorang pemain jika mereka mengubahsuai cara
pemakanan sepanjang menjalankan ibadah puasa.
Pemain berusia 38 tahun itu
sendiri mengamalkan cara pemakanan yang betul bagi memastikan dirinya kekal
cergas sepanjang menjalani ibadah puasa.
“Saya mengambil makanan yang agak
berat ketika bersahur seperti nasi tapi makan secara sederhana atau ringan
serta cepat hadam semasa berbuka supaya kekal cergas semasa berlatih atau
beraksi dalam perlawanan.
“Saya juga mengamalkan
pengambilan bahan pemakanan tambahan serta banyak minum air putih. Inilah
amalan saya selama ini, jadi bulan puasa tidak mendatangkan sebarang masalah
kepada saya,” katanya kepada Berita Harian.
Tambahnya, berdasarkan pengalaman
beraksi pada bulan puasa, ia tidak pernah mendatangkan masalah besar kepada
dirinya malah tidak sedikit pun menjejaskan ibadah puasanya.
“Saya sentiasa meletakkan karier
pemain bola sepak sebagai pekerjaan, periuk nasi saya. Jadi, sebagaimana orang
lain, saya perlu meneruskan tanggungjawab sebagai pekerja walaupun pada bulan
Ramadan.
“Cuma bezanya, kalau pada bulan
biasa pemain akan menjalani latihan pada sebelah siang, sepanjang Ramadan
jadual latihan ditukar di sebelah malam.
“Saya bersyukur kerana jurulatih,
B. Sathianathan sangat peka dan prihatin, beliau hanya memulakan latihan
selepas kami selesai mengerjakan solat terawih,” katanya.
Bagi Khairul Helmi Johari, beliau
mengakui kecergasannya sedikit terjejas sepanjang bulan Ramadan namun perlu
menanganinya dengan bijak terutamanya ketika perlawanan berlangsung.
“Sebagai pemain, kita perlu bijak
menyesuaikan diri dengan sebarang situasi. Contohnya, untuk bulan Ramadan,
pemain perlu memperlahankan tempo permainan terutamanya pada tempoh antara 25
hingga 30 minit pertama bagi memastikan kami dapat bertahan sehingga 90 minit
perlawanan.
“Sebagai pemain, saya akur dengan
ketetapan penganjur meneruskan liga pada bulan puasa. Malah, ia bukan masalah
besar kerana kami masih mampu menjalankan ibadah termasuk bersolat terawih
kerana latihan hanya bermula pada pukul 10 malam,” katanya.
SUMBER- https://football-tribe.com/malaysia/2018/05/26/shukor-adan-khairul-helmi-dedahkan-cara-pemakanan-pemain-bola-sepak-pada-bulan-ramadan/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan