SHUKOR ADAN menolak untuk kembali
bersama skuad kebangsaan dan mengesahkan keputusannya bersara daripada arena
antarabangsa pada 2014 adalah muktamad.
ABDUL HAFIZ AHMAD
16 Julai 2016 12:13 AM
KUALA LUMPUR 15 Julai - Kapten
Felda United, Muhammad Shukor Adan menganggap kudratnya sudah tidak mampu lagi
untuk dipertaruhkan di arena antarabangsa walaupun jurulatih kelab itu Irfan
Bakti Abu Salim menyarankan dia keluar daripada persaraan ekoran persaraan
mengejut ramai pemain Harimau Malaysia minggu ini.
Pertahanan tengah kelahiran
Melaka itu mengakui tidak mungkin dapat menarik semula persaraan antarabangsa
yang diumumkannya selepas membantu Harimau Malaysia muncul naib juara Piala AFF
pada 2014.
“Bukan saya tidak berminat, malah
saya amat menghargai kalau ada lagi jurulatih negara yang mahu memanggil saya
masuk pasukan negara semula.
“Kalau yang muda-muda pun sudah
bersara, bagaimana saya yang pada usia begini pula boleh diharapkan lagi.
Kudrat saya pun tidak segagah dulu lagi,” kata pemain berusia 37 tahun itu
kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Shukor, yang pada kemuncak
kariernya beraksi sebagai pemain tengah, berkata persaraan tonggak skuad
kebangsaan daripada pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) iaitu kapten Safiq Rahim,
Aidil Zafuan Abd. Radzak, S. Kunanlan dan Amirulhadi Zainal perlu dihormati dan
menganggapnya sebagai hak masing-masing sebagai pemain untuk memutuskannya.
“Saya pun sudah pada penghujung
karier. Saya rasa lebih baik saya tumpukan kepada Felda United dan Liga
Malaysia sahaja.
“Saya pun tidak tahu berapa lama
lagi boleh bertahan di peringkat ini, atau adakah pasukan lain yang turut
mahukan khidmat saya selepas ini.
“Musim depan kalau sudah tiada
lagi yang berminat, mungkin sudah sampai masanya saya pun kena gantung but,”
katanya, yang antara pencapaian terbaiknya ialah memenangi Pestabola Merdeka
2007.
Bekas jurulatih negara Dollah
Salleh adalah individu yang membawanya semula ke pentas antarabangsa ketika
itu, bersama-sama seorang lagi pemain veteran Indra Putra Mahayuddin untuk
Piala AFF 2014, selepas menyepi hampir tujuh tahun.
Shukor menyertai The Fighters
sejak 2014 dan kontraknya bakal berakhir musim ini.
Selain mewakili negara sebanyak
54 kali sejak 2001, dia turut pernah menyarung jersi Negeri Sembilan, Selangor
dan Angkatan Tentera malah pernah cuba dipancing kelab DPMM Brunei pada 2009
SUMBERArtikel Penuh:
http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/kudrat-tak-mengizinkan-8211-shukor-1.354060#ixzz5k31L7nB0
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan