Khamis, 21 Februari 2019 | 6:13pm

KAPTEN Melaka United, Muhammad
Shukor Adan (dua dari kanan) menghalang kemaraan pemain Pahang FA, Saddil
Ramdani (kanan) pada saingan Liga Super di Stadium Hang Jebat, Krubong. - Foto
Rasul Azli Samad
Shukor tuntut aksi cemerlang di
Larkin
Oleh Nazri Abu Bakar
sukanbh@bh.com.my
MELAKA: Kapten pasukan Melaka
United (MU), Shukor Adan menuntut aksi cemerlang rakan sepasukan ketika
berdepan skuad juara Liga Super lima kali berturut-turut, Johor Darul Ta’zim
(JDT) di laman lawan, Sabtu ini.
Sehubungan itu, dia yakin
gandingan jitu skuad pelawat bakal 'menggegar' Stadium Larkin walaupun sedar
tuan rumah akan bertindak agresif untuk menafikan impian MU meraih mata
maksimum.
Shukor juga optimis dengan
disiplin tinggi serta corak tersusun rakan sepasukan yang tampil cemerlang pada
tiga perlawanan awal untuk merencanakan persembahan berkualiti sepanjang 90
minit perlawanan di Larkin.
Malah pengalaman beberapa rakan
sepasukan yang pernah beraksi bersama skuad Harimau Selatan termasuk Safiq
Rahim, R Gopinathan dan Nazrin Nawi antara senjata ampuh untuk mengimbangi
kekuatan pasukan lawan.
"Walaupun skuad JDT tampil
dengan corak permainan berbeza berbanding sebelum ini, ia bukan halangan buat
skuad Hang Tuah daripada terus memberikan cabaran.
"Corak permainan MU juga
berbeza kali ini, yang penting pasukan yang kurang melakukan kesilapan
berpeluang mencipta kemenangan," katanya.
Sebagai 'jeneral padang' dia
sememangnya mengimpikan tiga mata di gelanggang keramat lawan, sekali gus
menuntut aksi kesemua rakan sepasukan untuk tampil berjuang habis-habisan bagi
merealisasikan impian berkenaan.
Shukor yang lebih 20 tahun
berkelana dan hanya pulang beraksi untuk negeri kelahiran musim ini, dilihat
antara pemain paling berpengalaman untuk menjulang kejayaan besar skuad
terbabit di pentas Liga Malaysia 2019.
Dia yang pernah menikmati saingan
kelayakan Piala Dunia 2002 selain menyumbang pingat perak di pentas Sukan SEA
2001 serta mewakili negara berdepan pasukan terhebat dunia termasuk Brazil,
Manchester United dan Chelsea, jelas akan menggunakan segala pengalaman dan
kudrat yang ada untuk mengekang JDT.
Malah, bekas pemain Negeri
Sembilan, Selangor, ATM dan FELDA United itu pastinya mahu merekodkan kejayaan
manis bersama pasukan Hang Tuah musim ini selepas menggenggam kejuaraan
termasuk Pestabola Merdeka, Piala Sumbangsih, Liga Perdana, Piala Malaysia dan
Piala FA.
Berikutan itu, perlawanan
berdepan JDT dilihat permulaan untuk membuktikan MU mampu sebaris skuad pilihan
terbabit sekali gus melayakkan pasukan Melaka muncul antara empat kelompok
skuad terbaik musim ini.
SUMBER-BERITA HARIAN ONLINE Khamis,
21 Februari 2019 | 6:13pm
Tiada ulasan:
Catat Ulasan