ARKIB : 04/09/2001
PEMAIN tengah skuad bola sepak
negara, Shukor Adan mengesali nasibnya kerana tidak dapat membantu Malaysia
yang akan menentang Indonesia dan Vietnam dalam aksi pusingan awal bola sepak
kumpulan B Sukan SEA XXI yang sedang berlangsung.
Shukor yang merupakan tonggak
bahagian tengah skuad negara menerima perintah keluar padang ketika menentang
Brunei dalam perlawanan pembukaan kumpulan B di Stadium Petaling Jaya,
kelmarin.
Pemain berpengalaman Brunei,
Riwandi Wahit turut menerima nasib yang sama.
``Saya kesal kerana dihukum
begini keras dalam aksi pertama saya untuk negara pada Sukan SEA,'' kata Shukor
di Shah Alam, semalam.
``Tambah kesal lagi kerana
bukan saya yang sepatutnya menerima kad merah pada malam itu.''
Nasib malang pemain Negeri
Sembilan itu berlaku pada minit ke-27 selepas berlaku insiden pergaduhan di
antara pertahanan Malaysia, Abd. Aziz Ismail dengan sayap kiri Brunei, Ideris
Lupat akibat perlanggaran.
Nada yang sama turut disuarakan
oleh penyerang Brunei Riwandi.
``Malang sekali kerana perkara
ini berlaku terhadap diri saya walaupun saya tidak terlibat dalam insiden
itu,'' katanya dengan nada sayu.
Malaysia yang menumpaskan
Brunei 5-0 pada perlawanan itu akan berdepan dengan naib juara, Indonesia pada
9 September sebelum menamatkan kempen pusingan awal bertemu Vietnam dua hari
kemudian.
``Saya bangga dengan
persembahan rakan-rakan saya yang berjaya menang besar ke atas Brunei. Saya
mendoakan mereka akan terus mencatat kemenangan dalam perlawanan seterusnya,''
kata Shukor.
Malaysia kini menduduki tangga
teratas kumpulan B selepas satu perlawanan.
Vietnam, pasukan yang dijangka
menjadi saingan utama skuad negara untuk ke separuh akhir selain Indonesia,
akan memulakan aksi pertamanya malam ini, menentang Brunei
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=0904&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4bk6ZvN3x
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan