Isnin, 11 September 2017

Mahu ulangi sejarah 1996



ARKIB : 04/01/2007
Oleh: ABDUL HAFIZ AHMAD 
KUALA LUMPUR – Mara ke perlawanan akhir Kejohanan AFF di Bangkok atau dulunya Piala Tiger yang bermula 12 Januari ini sekali gus memecah tradisi tempat ketiga menjadi sasaran pemain tengah skuad bola sepak negara, Shukor Adan.

Katanya, sudah begitu kerap Malaysia cuma terdaya ke separuh akhir dan menduduki tempat ketiga atau keempat tetapi masih kempunan ke perlawanan akhir sejak kali pertama melakukannya pada 1996.

“Kali ini saya mahu membawa Malaysia ke perlawanan akhir. Mengulangi pencapaian pada 1996 itu juga ibarat satu azam saya sempena tahun baru 2007,” katanya kepada Utusan Malaysia, semalam.

Pencapaian terbaik Malaysia dalam kejohanan ini ialah bergelar naib juara edisi sulung di Singapura pada 1996. Ketika itu mereka yang dibarisi Zainal Abidin Hassan, K. Sanbagamaran dan Shamsurin Rahman, dibimbing oleh Wan Jamak Wan Hassan.

Tanpa skuad kebangsaan yang dibubarkan kerana aib Sukan SEA Jakarta 1997 dan digantikan oleh skuad Olimpik 2000 bimbingan Hatem Souissi, Malaysia terkandas dalam peringkat kumpulan lagi pada 1998 setelah cuma seri sekali dan kalah dua kali.

Abdul Rahman Ibrahim bagaimanapun mengembalikan maruah Malaysia di Songkhla dan Bangkok dengan khidmat Azman Adnan, Hairuddin Omar dan Anuar Jusoh apabila menduduki tempat ketiga pada Piala Tiger 2000.

Di bawah Alan Harris pada 2002, Malaysia menduduki tempat keempat sekalipun sempat mengejutkan Thailand dan membelasah Singapura di peringkat kumpulan. Dalam edisi 2004-2005, skuad negara bimbingan Bertalan Bicskei dari Hungary, sekali lagi meraih tempat ketiga.

Shukor yang kini bersama 22 pelatih lain, masih bersaing merebut 20 tempat terakhir dalam skuad negara yang bakal berentap dengan Thailand, Myanmar dan Filipina dalam Kumpulan A. Kumpulan B dianggotai juara bertahan, Singapura, Vietnam, Laos dan Indonesia.

Dilatih oleh Norizan Bakar, ketua pasukan Selangor ini memburu penampilan kedua ke Kejohanan AFF selepas disekat oleh Indonesia dengan agregat 5-3 pada separuh akhir di Kuala Lumpur pada 2004-2005.

Shukor yang kali terakhir mewakili negara pada Sukan Perpaduan Islam di Arab Saudi 2005, menyifatkan Myanmar sebagai pasukan yang semakin meningkat manakala Thailand mungkin mempertaruhkan ramai pemain skuad Sukan Asia Doha yang mara ke suku akhir, bulan lalu.

Myanmar merangkul trofi Pestabola Merdeka di Shah Alam, Ogos lalu dan menambahnya dengan Piala Cabaran Grand Royal, baru-baru ini. Tuan rumah pula yang diperkuatkan semula wira Piala Tiger 1996, Kiatisuk Senamuang, baru sahaja menjuarai Piala Raja Thai.

“Saya kurang pasti tentang sejauh mana kemampuan Filipina kerana telah lama tidak menentang mereka. Kami menewaskan mereka 4-1 dalam Piala Tiger 2004-2005 di Kuala Lumpur tetapi siapa pun lawannya, kami tetap janjikan tentangan yang terbaik kali ini,” katanya.

Filipina yang dibimbing Ariston Caslib dan muncul naib juara kelayakan, November lalu, dikatakan memiliki trio pemain kelahiran asing, Alex Borromeo dan Philip serta James Younghusband yang diambil dari skuad Akademi Remaja Chelsea.

Shukor bagaimanapun agak keberatan sekiranya diserahkan peranan ketua pasukan ke Bangkok oleh Norizan yang setakat ini masih menilai sekurang-kurangnya lima calon yang layak di kalangan pemain senior dan paling berpengalaman antarabangsa.

“Ada ramai lagi yang lebih layak untuk jadi ketua pasukan,” katanya yang menerajui Selangor selama lima musim sejak 2003 dan mengumpul tiga trofi sekali gus - Piala Liga Perdana, Piala FA dan Piala Malaysia, dua tahun kemudian.

Calon yang turut dinilai Norizan ketika ini ialah Norhafiz Zamani Misbah, Kaironnisam Sahabuddin Hussain, Hairuddin Omar dan Fadzli Saari berdasarkan prestasi perlawanan persahabatan menentang New Zealand, Singapura, Pestabola Merdeka dan Sukan Asia sepanjang tahun lalu.

“Beberapa pemain pernah menjadi ketua pasukan skuad negara jadi tidak mudah untuk memilihnya sekarang tetapi saya yakin, orang yang menyarung lilitan lengan itu mestilah selesa dengan tugas tersebut dan dihormati oleh rakan sepasukan,” kata Norizan.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0104&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4sMcENy1o
© Utusan Melayu (M) Bhd

Ahad, 10 September 2017

Selangor tempang tanpa Shukor, Fadzli


ARKIB : 26/12/2006
Selangor tempang tanpa Shukor, Fadzli

KUALA LUMPUR – Jurulatih Selangor, Dollah Salleh mengakui skuadnya tempang tanpa khidmat dua tonggak utama– ketua pasukan Muhammad Shukor Adan dan perancang utama, Mohd. Fadzli Saari yang dipanggil menjalani latihan skuad bola sepak kebangsaan menghadapi Piala Asia Julai nanti.

Akur dengan kehendak Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) demi perjuangan penting menebus maruah negara, Dollah tetap merasakan ketiadaan mereka bakal merubah nasib Selangor selepas ini.

Dua lagi pemain muda Selangor yang turut dipanggil menjalani latihan di bawah jurulatih Norizan Bakar ialah pemain muda Safiq Rahim dan penjaga gol, Syed Adney.

Kehadiran Shukor dan Fadzli kata jurulatih itu menyaksikan Selangor memulakan kempen Liga Super dengan cemerlang memahatkan dua kemenangan menewaskan Melaka 1-0 dan Brunei DPMM 2-1 tetapi tewas 0-1 kepada Telekom Melaka.

‘‘Saya terpaksa terima hakikat terpaksa kehilangan khidmat dua tonggak utama ini dan saya terpaksa memikirkan pemain lain yang layak mengisi posisi tersebut,’’ ujarnya ketika dihubungi semalam.

Ujarnya, beliau terpaksa menerima hakikat dalam beberapa saingan Liga Super nanti tidak dapat menggunakan khidmat Shukor dan Fadzli.

Biarpun begitu kata Dollah, beliau tidak mahu menjadikan alasan tersebut sebagai punca mengapa Selangor tidak boleh beraksi cemerlang.

Ujarnya, beliau akan mencari pemain yang mampu mengisi kekosongan itu agar dapat mengimbangi posisi yang ditinggalkan agar skuad Merah Kuning terus memperoleh kemenangan.

‘‘Saya percaya kesungguhan pemain muda yang lain dapat memikul tanggungjawab untuk memastikan Selangor meraih kemenangan,’’ katanya.

Kemenangan terbaru Selangor ke atas Brunei kata Dollah menunjukkan pemain muda semakin menunjukkan kematangan dan bersedia berdepan pasukan yang lebih berpengalaman.

Ujarnya, persembahan menyakinkan mereka menyakinkan beliau Selangor mampu bersaing dengan pasukan yang lebih berpengalaman dan menggunakan khidmat pemain import.

Mengulas mengenai pertemuan dengan Negeri Sembilan jurulatih itu berkata, beliau tidak memandang rendah keupayaan juara Liga Super musim lalu itu walaupun mereka bergelut berada di dua tangga terbawah liga.

Apa yang pasti kata jurulatih berasal dari Johor itu, beliau akan menurunkan kesebelasan utama yang sama ketika menang 2-1 ke atas Brunei Sabtu lalu.

‘‘NS Naza ibarat harimau terluka dan mereka pastinya akan bermain mati-matian untuk mencari kemenangan jika tidak kedudukan mereka akan semakin parah,’’ ujarnya.

Selangor menduduki tangga kedua di belakang pendahulu Perlis apabila memungut enam mata iaitu tiga mata dipisahkan daripada skuad Singa Utara.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=1226&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4sHbxdXj6
© Utusan Melayu (M) Bhd