MyMetroNode

Aziman Rosdi
aziman@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Biarpun mengetahui
agak mustahil untuk Shukor Adan (gambar) keluar daripada persaraan di pentas
antarabangsa namun bekas pemain kebangsaan Lim Chan Yew tetap menaruh harapan
pemain pertahanan berpengalaman itu dapat kembali membantu skuad Harimau
Malaysia bagi misi Piala AFF di Yangon, Myanmar November ini.
Shukor, 36, beberapa kali
menegaskan tidak akan mengubah keputusannya selepas membantu Malaysia muncul
naib juara Piala AFF dua tahun lalu namun situasi dalam kem negara ketika ini
agak kritikal.
Persaraan Aidil Zafuan Abd Razak
pada Julai lalu, kecederaan yang menimpa kapten Selangor Shahrom Kalam, Mohd
Fadhli Shas yang jarang beraksi bersama Johor Darul Ta’zim (Johor DT) dan rakan
sepasukannya Junior Eldstal yang bergelut untuk berada di prestasi selepas
pulih menambah resah pengendali Datuk Ong Kim Swee.
Kemungkinan Ronny Harun dari
Sarawak kembali dipanggil manakala pemain Perak Shahrul Saad juga antara calon
di posisi pertahanan tengah.
Bagaimanapun bagi Chan Yew,
kudrat Shukor yang masih menyerlah memimpin FELDA United musim ini masih boleh
ditagih.
“Memang kita ada masalah di
posisi pertahanan tengah selepas ketiadaan Aidil. Kim Swee memerlukan seorang
pemain berpengalaman di peringkat antarabangsa dan mampu memberi pengaruh besar
dalam pasukan.
“Saya ada berjumpa dengan Shukor
sebelum ini dan dia menyatakan mahu terus bersara dan saya hormati keputusan
itu tapi jika dia membuat keputusan ingin kembali semula, saya fikir itu
keputusan amat baik buat skuad kebangsaan.
“Kita boleh lihat bagaimana aksi
pemain tempatan di FELDA United meningkat menerusi pengaruhnya sebagai ketua
pasukan,” katanya kepada Arena Metro semalam.
Kim Swee bakal mengumumkan
senarai pemain bagi sesi latihan pusat bermula Isnin depan sebagai persiapan
berdepan Indonesia dalam aksi persahabatan antarabangsa di Solo pada 6
September.
Ini aksi pertama Harimau Malaysia
tanpa kelibat kapten Safiq Rahim, Aidil, S Kunanlan dan Amirulhadi Zainal yang
bersara di peringkat antarabangsa.
Chan Yew yang kini menjadi
pengulas bola sepak berkata, peminat tempatan tidak boleh meletakkan harapan
yang tinggi di Piala AFF jika mereka mahukan muka baru.
“Aksi di pentas antarabangsa
berbeza, ramai pemain kita tidak ada pengalaman. Mungkin ramai yang tak suka
kalau Shukor kembali tapi mereka juga tidak boleh meletakkan tinggi untuk
Malaysia menang di Piala AFF.
“Dan pemain baru yang diberi
peluang perlu cuba mendapatkan pengalaman secepat mungkin kerana mereka tidak
mempunyai banyak masa,” katanya yang pernah berlatih dengan kelab England AFC
Bournemouth pada 2005.
SUMBER-Artikel ini disiarkan pada
: Khamis, 25 Ogos 2016 @ 8:28 AM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan