Oleh Rodly Fadly
sukanteam@nstp.com.my

KUALA LUMPUR: Kapten FELDA
United, Shukor Adan menganggap beraksi pada bulan Ramadan bukan satu beban dan
tidak menjadi masalah jika pemain bijak menyesuaikan diri bagi memenuhi tuntutan sebagai umat Islam
serta tanggungjawab sebagai pemain.
Malah, Shukor berkata, ia juga
tidak menjejaskan prestasi seseorang pemain seandainya mereka mampu
mengubahsuai pola pemakanan sepanjang menjalankan ibadah puasa.
"Saya bercakap bagi pihak
diri sendiri bukan mewakili kawan-kawan (pemain) yang lain kerana saya tidak
tahu bagaimana mereka menangani situasi ini.
"Setakat ini, berdasarkan
pengalaman beraksi pada bulan puasa, ia tidak mendatangkan masalah besar kepada
saya dan saya mampu menanganinya dengan baik tanpa menjejaskan ibadah puasa.
"Saya sentiasa meletakkan
karier pemain bola sepak sebagai pekerjaan, periuk nasi saya. Jadi, sebagaimana
orang lain, saya perlu meneruskan tanggungjawab sebagai pekerja walaupun pada
bulan Ramadan.
"Cuma bezanya, kalau pada
bulan biasa kami menjalani latihan pada sebelah siang, sepanjang Ramadan jadual
latihan ditukar pada malam.
"Saya bersyukur kerana
jurulatih kami (B Sathianathan) sangat peka serta prihatin apabila hanya
memulakan latihan selepas kami selesai mengerjakan solat tarawih," kata
Shukor.
Pemain berusia 38 tahun itu juga
mendedahkan dia mengamalkan cara pemakanan yang betul bagi memastikan kekal
cergas sepanjang menjalani ibadah puasa.
"Saya mengambil makanan yang
agak 'berat' ketika bersahur seperti nasi tapi makan secara sederhana atau
ringan serta cepat hadam semasa berbuka bagi memastikan kekal cergas semasa
berlatih atau beraksi dalam perlawanan.
"Di samping itu saya juga
mengamalkan pengambilan bahan pemakanan tambahan serta banyak minum air putih.
Inilah amalan saya selama ini, jadi bulan puasa tidak mendatangkan sebarang
masalah kepada saya," kata pemain itu.
Sementara itu ketua pasukan
Kedah, Khairul Helmi Johari mengakui kecergasannya sedikit terjejas sepanjang
bulan Ramadan namun perlu menanganinya dengan bijak terutama dalam perlawanan.
"Sebagai pemain kita perlu
bijak menyesuaikan diri dengan sesuatu situasi. Contohnya, untuk bulan Ramadan,
pemain perlu memperlahankan tempo permainan terutama pada tempoh antara 25
hingga 30 minit pertama bagi memastikan kami dapat bertahan sehingga 90 minit
perlawanan.
"Sebagai pemain, saya akur
dengan ketetapan penganjur meneruskan liga pada bulan puasa. Malah, ia bukan
masalah besar kerana kami masih mampu menjalankan ibadah termasuk bersolat
tarawih kerana latihan hanya bermula pada pukul 10 malam," kata Khairul
Helmi.
Semalam, bekas pemain kebangsaan
dan Kedah, Radhi Mat Din menggesa Liga Bolasepak Malaysia (MFL) lebih peka
dengan merehatkan liga sepanjang bulan Ramadan bagi membolehkan komuniti bola
sepak sama ada pemain mahupun penyokong memberi tumpuan kepada amal ibadat.[1]
[1]https://www.bharian.com.my/sukan/bola/2018/05/430043/aksi-bulan-puasa-tak-jejas-badan-shukor-adan
Tiada ulasan:
Catat Ulasan