Ahad, 3 Januari 2021

Karisma Shukor dihormati rakan dan lawan

MyMetroArena



Syazwan Msar

mohdsyazwan@hmetro.com.my

PERTAHANAN berpengalaman Shukor Adan adalah bintang yang dilahirkan untuk menjadi ketua di atas padang serta mempunyai karisma yang jarang dijumpai pada mana-mana pemain lain.

Demikian pandangan rakan seangkatan Shukor, Norhafiz Zamani Misbah yang melihat ciri kepimpinan Shukor sebagai istimewa yang menyebabkan dia masih mampu meneruskan karier walaupun usia sudah menjangkau 41 tahun.

Katanya, Shukor sentiasa menjadi pemain dihormati kawan dan lawan malah sentiasa bijak mengawal benteng pasukan jika beraksi selaku pemain pertahanan tengah.

"Saya dan Shukor sudah mengenali antara satu sama lain sejak beraksi dalam skuad Piala Presiden Negeri Sembilan pada 1998 dan bermain dalam pasukan utama pada 2000 serta 2001 selepas dia berhijrah dari Melaka pada waktu itu.

"Sejak menjadi rakan sepasukan di awal karier, saya sudah dapat melihat ciri istimewa Shukor yang kekal sampai hari ini. Apa yang saya paling kagum dengan Shukor ialah dia ada auranya tersendiri kerana kalau berikan arahan atau naikkan semangat, semua pemain mudah dengar apa dia katakan,"katanya.

Selepas 2001 menjadi tahun terakhir mereka bersama, Norhafiz dan Shukor sekali lagi bergandingan di Negeri Sembilan,10 tahun selepas itu pada musim 2011 dan 2012.

Shukor menjadi salah seorang bintang dalam Best XI Norhafiz yang disenaraikan sebagai pemain tengah di dalam formasi 3-5-2 yang menjadi pilihan bekas tonggak kebangsaan berkenaan.

Mohd Syamsuri Mustafa diletakkan sebagai penjaga gol pilihan sementara tiga pemain pertahanan ialah Khairil Zainal, Khairul Anuar Baharom dan B.Rajinikandh.

Selain Shukor yang bertindak sebagai sebagai pemain tengah bertahan, Azrul Amri Burhan dan Gus Cerro turut menjadi pilihan Norhafiz manakala Rosdi Talib di bahagian kiri sementara Indra Putra Mahayuddin diletakkan bahagian kanan. B

Bekas penyerang Kuala Lumpur, Selangor dan Negeri Sembilan, Azman Adnan serta penyerang PJ City Safee Sali melengkapkan senarai Best XI Norhafiz.

Seorang lagi pemain yang turut meraih perhatian Norhafiz ialah Azrul Amri Burhan yang pernah beraksi bersamanya pada musim 2003 dan 2004.

"Azrul salah seorang pemain mempunyai keupayaan teknikal mengagumkan, dia salah seorang pemain tengah paling kreatif sewaktu di puncak kariernya.

"Ketepatan hantaran jauh serta pendek Azrul begitu tinggi dan jarang sekali dia gagal melakukan hantaran tidak tepat kepada rakan sepasukan," katanya.

SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Jun 2020 @ 5:18 PM

Shukor tak tahu bila nak bersara

MyMetroTopic



Syazwan Msar

mohdsyazwan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Pemain pertahanan berpengalaman, Shukor Adan yang bakal menginjak usia 42 tahun musim depan kini semakin menghampiri rekod sebagai pemain paling tua di Liga Malaysia sejak era profesional diperkenalkan.

Dijangka terus bersama Kuala Lumpur pada 2021, Shukor berpeluang memecahkan rekod sebagai pemain paling tua milik penjaga gol era 1990-an dan awal 2000, V Murugan yang kali terakhir beraksi dengan Melaka pada usia 43 tahun.

Namun, perkara itu tidak menjadi keutamaan buat Shukor, sebaliknya berhasrat meneruskan kariernya selagi ada pasukan mahukan khidmatnya.

''Sebenarnya saya tidak merancang bila usia hendak bersara dan semuanya bergantung kepada tawaran. Jika kata, sudah tiada pasukan mahukan saya, pada satu hari nanti, saya akan berhenti juga daripada bermain bola sepak.

''Saya tidak terfikir hendak membuat rekod sebagai pemain paling berusia di dalam negara ini kerana apa yang saya tengok adalah keadaan diri saya sama ada boleh terus bermain dan buat masa ini saya bersyukur kerana tiada sebarang kecederaan serius dekat diri ini.

Shukor berkata, dia akan menilai dulu prestasi dalam beberapa perlawanan musim depan kerana musim lalu hanya bermain dalam lapan ke sembilan perlawanan kompetitif.

''Namun, saya bersiap sedia beraksi di Liga Super sekali lagi kerana dahulu pada usia 40 tahun, saya pernah membantu Melaka dan saya kena persiapkan mental, fizikal dan tahap kecergasan jika mahu bermain di peringkat tertinggi.

''Sebagai pemain senior, kita kena 'play smart' dan bukannya 'play hard' kerana tidak guna hendak kerah kudrat seratus peratus kerana pengalaman membaca permainan adalah senjata terbaik,'' katanya.

Berasal dari Melaka, Shukor memulakan karier profesionalnya bersama Negeri Sembilan pada tahun 2000 dan dia pada asalnya seorang penyerang sebelum penyertaan di Selangor pada 2009 telah mengubahnya kepada pemain di posisi pertahanan.

Kehadirannya membantu Kuala Lumpur pada musim lalu nyata membawa tuah apabila membantu skuad warga kota itu ke Liga Super pada musim depan biarpun sebelum ini ramai sangsi akan kemampuan Shukor untuk bermain di peringkat tertinggi.

SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Disember 2020 @ 11:04 PM