Sabtu, 18 Mac 2017

Shukor kesal dihukum terlalu keras

ARKIB : 04/09/2001
PEMAIN tengah skuad bola sepak negara, Shukor Adan mengesali nasibnya kerana tidak dapat membantu Malaysia yang akan menentang Indonesia dan Vietnam dalam aksi pusingan awal bola sepak kumpulan B Sukan SEA XXI yang sedang berlangsung.

Shukor yang merupakan tonggak bahagian tengah skuad negara menerima perintah keluar padang ketika menentang Brunei dalam perlawanan pembukaan kumpulan B di Stadium Petaling Jaya, kelmarin.

Pemain berpengalaman Brunei, Riwandi Wahit turut menerima nasib yang sama.

``Saya kesal kerana dihukum begini keras dalam aksi pertama saya untuk negara pada Sukan SEA,'' kata Shukor di Shah Alam, semalam.

``Tambah kesal lagi kerana bukan saya yang sepatutnya menerima kad merah pada malam itu.''

Nasib malang pemain Negeri Sembilan itu berlaku pada minit ke-27 selepas berlaku insiden pergaduhan di antara pertahanan Malaysia, Abd. Aziz Ismail dengan sayap kiri Brunei, Ideris Lupat akibat perlanggaran.

Nada yang sama turut disuarakan oleh penyerang Brunei Riwandi.

``Malang sekali kerana perkara ini berlaku terhadap diri saya walaupun saya tidak terlibat dalam insiden itu,'' katanya dengan nada sayu.

Malaysia yang menumpaskan Brunei 5-0 pada perlawanan itu akan berdepan dengan naib juara, Indonesia pada 9 September sebelum menamatkan kempen pusingan awal bertemu Vietnam dua hari kemudian.

``Saya bangga dengan persembahan rakan-rakan saya yang berjaya menang besar ke atas Brunei. Saya mendoakan mereka akan terus mencatat kemenangan dalam perlawanan seterusnya,'' kata Shukor.

Malaysia kini menduduki tangga teratas kumpulan B selepas satu perlawanan.

Vietnam, pasukan yang dijangka menjadi saingan utama skuad negara untuk ke separuh akhir selain Indonesia, akan memulakan aksi pertamanya malam ini, menentang Brunei



SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=0904&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4bk6ZvN3x

© Utusan Melayu (M) Bhd

Khamis, 16 Mac 2017

Elak tempat tercorot



 
ARKIB : 25/03/2001
PEMAIN negara, Mohamed Shukor (kanan) berusaha melepasi dua pemain Hong Kong sewaktu perlawanan pusingan kedua kelayakan kumpulan Tiga Asia di Doha, semalam. Hong Kong menang 2-1. - Gambar AFP.

Oleh: JOHARI SHAWAL
DOHA, Qatar - Tiada apa yang perlu dilakukan oleh barisan skuad bola sepak negara kecuali mencatat kemenangan ke atas Palestin pada perlawanan terakhir kelayakan Piala Dunia Kumpulan Tiga Asia hari ini, untuk mengelak daripada menghuni tangga tercorot, selepas tewas 2-1 kepada Hong Kong, awal pagi semalam.

Ketika Qatar sudah berpesta meraikan lebih awal kejayaan mereka layak ke pusingan kedua biarpun masih berbaki satu perlawanan, Malaysia masih teraba-raba untuk cuba memperbaiki kedudukannya.

Kejayaan mengikat Qatar 0-0 pada perlawanan pertama Selasa lalu rupanya masih tidak cukup untuk dijadikan pembakar semangat.

Sebaliknya Hong Kong, yang tewas 2-0 kepada skuad negara di gelanggang sendiri pada pusingan pertama, menjadikan Stadium Al-Sadd di sini sebagai medan menebus dendam.

Dan dendam mereka sudah berbalas. Menerusi corak permainan pantas dan keras, Hong Kong membuka jaringan seawal minit ke-15 menerusi satu tendangan sudut yang seharusnya mudah dikawal barisan pertahanan negara.

Ketika Malaysia cuba bangkit mencari gol penyamaan sehingga berlarutan di babak kedua, Hong Kong sekali lagi menggegarkan jaring pasukan negara pada minit ke-78, juga akibat kesilapan pertahanan.

Penjaga gol, Mazlan Wahid tersilap kira ketika keluar untuk menyekat terjahan Keung Hei Chi dalam kotak penalti tetapi bola lebih dulu terkena badan pemain lawan itu sebelum menerjah jaring.

Itulah satu-satunya gerakan berbahaya Hong Kong pada sepanjang babak kedua tetapi mereka rupanya beroleh tuah.

Gol tunggal Malaysia hanya hadir ketika permainan berbaki lima minit. Hairuddin Omar menanduk cantik bola hantaran lintang Zamani Misbah selepas beberapa serangan dilancarkan.

Penyerang Akmal Rizal Ahmad Rakhli, yang menjaringkan kedua-dua gol ke atas Hong Kong pada pusingan pertama, kali ini gagal membuat sumbangan biarpun berusaha keras.

Kini, hanya kemenangan ke atas Palestin sambil mengharapkan Qatar mengatasi Hong Kong, mampu menghindar Malaysia daripada menamatkan kelayakan pada kedudukan terbawah kumpulan.

Namun, pasukan Allan Harris bakal sukar mencapai hajat itu kerana Palestin memiliki semangat lebih kental berbanding Hong Kong. Lihatlah aksi mereka ketika menang 1-0 ke atas pasukan bekas jajahan British itu dan memaksa Qatar berhempas pulas sebelum akhirnya tunduk 2-1, kelmarin.

Harus juga diingat, Malaysia tewas 1-0 kepada Palestin pada pusingan pertama di Hong Kong. Dilihat kepada peningkatan Palestin, mungkin kenyataan itu ada benarnya.

Segalanya kini di tangan pemain. Mereka yang bakal menentukan keputusan dan kedudukan terakhir skuad negara dalam kelayakan ini. Harris dan para pembantunya sudah berusaha dan hanya pemain yang akan memberikan keputusannya. - Utusan

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=0325&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4bYi3hPER
© Utusan Melayu (M) Bhd

Skuad negara hadapi lawan sebenar - Harris



 
ARKIB : 06/03/2001
Skuad negara hadapi lawan sebenar - Harris
PEMAIN Malaysia, Bahtiar Othman (kanan) bersaing dengan pemain Qatar, Mubarak Mostafa Fazli sewaktu perlawanan pembukaan bola sepak kelayakan Piala Dunia kumpulan tiga Asia di Hong Kong, kelmarin. Qatar menang 5-1. - Gambar AFP.

Daripada: A. JAILANI ABDULLAH
HONG KONG - Selamat datang ke dunia sebenar. Ayat itu mungkin yang paling sesuai untuk dikatakan oleh jurulatih bola sepak negara, Allan Harris kepada para pemainnya yang memulakan kempen kelayakan Piala Dunia dengan menentang Qatar di sini, kelmarin.

Bagi jurulatih negara, Allan Harris, perlawanan dengan Qatar, pasukan pilihan dalam pusingan kelayakan bola sepak Piala Dunia yang sedang berlangsung di sini telah memberikan makna sebenar permainan peringkat antarabangsa khususnya kepada pemain-pemain muda negara.

``Ini bukanlah perlawanan persahabatan atau Sukan SEA, ini adalah perlawanan peringkat tinggi yang sama sekali berbeza dengan perlawanan kita yang sudah-sudah,'' Harris mengulas mengenai pertemuan dengan Qatar kelmarin, ketika ditemui di hotel skuad negara di Quarry Bay.

Dalam perlawanan itu, Malaysia dibelasah 5-1 oleh Qatar walaupun mendahului 1-0 menerusi sepakan percuma pertahanan kanan, Rosdi Talib hanya selepas sembilan minit perlawanan bermula.

Menurut Harris, yang melatih skuad negara sejak awal tahun ini, perlawanan menentang pasukan bertaraf lebih tinggi memberi tahu kepada para pemain di mana sebenarnya taraf mereka.

``Kita dapat melihat di mana kita berada apabila menentang pasukan seperti Qatar,'' kata Harris.

Malaysia diletakkan dalam Kumpulan Tiga Asia bersama-sama Qatar, Hong Kong dan Palestin dalam pusingan kelayakan yang bermula kelmarin hingga 11 Mac ini.

Bagaimanapun, jurulatih dari England itu memuji permainan pemain-pemain mudanya. Dalam perlawanan itu, Harris merehatkan penyerang paling senior untuk meletakkan penyerang muda, Akmal Rizal Ahmad Rakhli, 19, berganding dengan Hairuddin Omar

Harris, 54, turut menggantikan V. Saravanan yang cedera dengan Jaafar Salleh, 21, dan Shukor Adan, 22, serta Gilbert Cassidy - kesemuanya mendapat cap antarabangsa pertama.

``Saya mahu melihat kombinasi Akmal dan Hairuddin.

``Hairuddin mungkin kurang tajam tetapi dia bekerja keras. Shukor juga rajin dan tahu di mana dia perlu berada,'' kata Harris.

Mengenai permainan skuad negara, Harris berkata, pemain-pemain telah mendapat pelajaran terbaik iaitu mereka sepatutnya cuba menghalang lawan daripada kembali bermain dengan rentak mereka selepas mendahului.

Bagaimanapun, katanya, sekarang mereka perlu melupakan kekalahan itu dan menumpukan kepada perlawanan kedua, menentang Hong Kong pada Khamis ini.

``Kita sudah kalah 5-1, kita tidak boleh mengubahnya lagi. Kini tumpuan kita ialah menentang Hong Kong dan berharap kita menang kerana peluang untuk menghabiskan kempen di sini sebagai pasukan kedua terbaik masih ada,'' katanya. - Utusan

SUMBER[Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=0306&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4bTvXkAS7
© Utusan Melayu (M) Bhd