Ahad, 9 April 2017

Sany, Shukor dapat panggilan



ARKIB : 12/01/2004
TIGA pemain Perak dan dua dari Selangor dipanggil menjalani latihan dengan skuad kebangsaan sebagai persediaan menghadapi perlawanan persahabatan dengan Jepun dan pusingan kelayakan Piala Dunia.

Wakil Selangor ialah penjaga gol Mohd. Sany Fahmy dan perantaranya, Mohd. Shukor Adan sementara trio Perak terdiri daripada V. Saravanan, Liew Kit Kong dan R. Nanthakumar.

Kemasukan Sany dan Shukor disahkan oleh pengurus pasukan Gergasi Merah, Datuk Satim Diman yang ditemui selepas perlawanan persahabatan dengan Perak di Stadium Shah Alam, kelmarin.

Sumber pasukan Perak pula menyebut, Saravanan (penyerang), Kit Kong dan Nanthakumar dari bahagian tengah telah pun dipanggil melaporkan diri menjelang menentang Jepun pada 7 Februari ini.

Bagaimanapun agak mengejutkan ialah tercicirnya terus nama ketua pasukan Perak, Ahmad Shahrul Azhar Soffian daripada skuad pelatih kebangsaan kali ini.

``Mungkin saya ini dah tua,'' katanya selepas perlawanan yang menyaksikan Selangor-Perak terikat 0-0. Tuan rumah bakal menyertai Liga Perdana sementara pelawat ialah antara lapan pasukan dalam Liga Super yang diperkenalkan musim ini.

Nama Ahmad Shahrul Azhar didapati kian tersisih sejak dikatakan memohon Allan John Harris mengecualikannya daripada mewakili negara ke Piala Tiger di Singapura dan Indonesia pada Disember 2002.

Kali terakhir dia menyarung jersi kuning negara ialah pada Sukan Asia di Busan, Oktober tahun yang sama. Rakan sepasukannya, penyerang Khalid Jamlus turut diketepikan sejak itu.

Pusingan kelayakan Piala Dunia pula bakal bermula pada 18 Mac dengan Malaysia diletakkan dalam kumpulan 4 benua Asia bersama-sama China, Kuwait dan Hong Kong.

Sany pernah menyertai skuad kebangsaan ke Pra-Piala Asia di Manama, Bahrain ekoran kecederaan penjaga gol utama, Azmin Azram Aziz tetapi masih belum dapat memintas penggantinya, Syamsuri Mustafa.

Shukor pula merupakan salah seorang penjaring gol ketika Malaysia seri dengan Bahrain dalam pusingan pertama kelayakan itu di Stadium Nasional, Kuala Lumpur.

Nanthakumar tercicir daripada skuad Pra-Piala Asia ekoran kecederaan sementara Kit Kong dan Saravanan masing-masing pernah dipanggil mewakili skuad kebangsaan antara 2000 hingga 2002.

Skuad kebangsaan yang setakat ini belum memiliki ketua jurulatihnya, bakal dibarisi lebih ramai pemain yang berusia 23 tahun ke atas - sedikit berbeza daripada pasukan ke Sukan SEA Vietnam dan Pra-Piala Asia, tahun lalu dan Piala Tiger 2002.

Ia berikutan langkah Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mewujudkan dua pasukan bagi menghadapi dua tugasan - Pra-Piala Dunia dan Pra-Olimpik tahun ini yang begitu padat jadualnya.

Skuad kebangsaan akan menghadapi kelayakan Piala Dunia sementara skuad Bawah 23 Tahun di bawah bimbingan Harris bagi Pra-Olimpik mulai 3 Mac.

Kali terakhir skuad kebangsaan yang mengandungi ramai pemain melebihi 23 tahun diwujudkan ialah ketika Pestabola Merdeka 2001 dengan dilatih oleh Norizan Bakar yang kini membimbing Perlis.

Sementara itu, Satim berkata, Selangor akur dengan keputusan FAM yang hanya memanggil dua pemainnya untuk menjalani latihan bersama skuad kebangsaan kali ini.

``Kita kena sedar hakikat musim lalu menyaksikan Selangor berada di tangga ketiga terbawah Liga Perdana Satu. Mungkin bakat dan kemampuan pemain Selangor pun tak begitu menonjol,'' katanya.

Situasi ini didapati begitu ketara bezanya memandangkan Selangor sejak era 70-an hingga 90-an cukup dikenali sebagai skuad negeri penyumbang terbesar barisan pemain kebangsaan.

sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2004&dt=0112&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_05.htm#ixzz4djrTf1OD
© Utusan Melayu (M) Bhd

Sabtu, 8 April 2017

Shukor calon ketua, Azman masih berbisa



ARKIB : 06/01/2004

PEMAIN kebangsaan Mohd. Shukor Adan semakin pasti ditugaskan sebagai ketua pasukan Selangor bagi menghadapi saingan bola sepak Liga Malaysia khasnya Liga Perdana yang bakal bermula 5 Februari ini.

Kepercayaan kepada beliau untuk terus menyarung lilit lengan skuad Gergasi Merah telah terserlah dalam lima perlawanan persahabatan sejak bulan lalu hingga Ahad lalu, lapor ABDUL HAFIZ AHMAD.

Pengurus pasukan Selangor, Datuk Satim Diman berkata, Shukor bukan saja telah membuktikan kewibawaan sebagai kapten malahan memiliki sentuhan berbisa untuk mencipta jaringan.

``Shukor mempunyai kredibiliti. Caranya merancang dan mengatur permainan pun terserlah. Paling penting dia juga mendapat kerjasama penuh dengan rakan sepasukan,'' katanya ketika dihubungi di Serdang, semalam.

Malah, pemain yang menjadi sandaran jurulatih Selangor, Omar Ruben Larrosa dari Argentina juga berkemampuan menyumbat gol.

Selangor menewaskan Melaka 2-0 di Stadium Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang selain menumpaskan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) 1-0 dan 3-0, Kuala Lumpur 4-0 dan seri dengan sebuah kelab Uzbekistan 1-1.

Bekas juara Piala Malaysia 2002 itu juga dijangka mengundang Perak ke Stadium Shah Alam untuk satu lagi perlawanan persahabatan pada 10 Januari ini sebelum berlepas ke Indonesia, dua hari kemudian.

Menurut Satim, kebolehan dan kematangan Shukor ternyata banyak dipengaruhi oleh pendedahannya dalam aksi antarabangsa apabila beberapa kali dipanggil mewakili skuad kebangsaan dan Bawah 23 Tahun sejak 2001.

``Shukor juga didapati punya persefahaman dengan pemain import kita terutama Brian Fuentes dan Diego Cepeda. Soal bahasa juga bukan satu halangan besar apabila kita sudah meledak 11 gol setakat ini,'' katanya.

Mengenai persembahan dua tonggak dari Argentina itu, Satim tidak ketinggalan menghamburkan pujian sambil menganggap mereka semakin menguatkan keyakinannya untuk membawa Selangor bangkit musim ini.

``Saya dan Larrosa melihat Fuenes (penjaring lima gol setakat ini) menepati ciri-ciri penyudah ampuh, tangkas dan pintar menghidu peluang,'' katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan Puchong.

Kata Satim, Azman Adnan, Rudie Ramli dan Amri Yahyah merupakan barisan calon penyerang tempatan yang sedang dinilai oleh Larrosa sebagai gandingan serasi dengan Fuenes dalam menggempur lawan.

``Biarpun Rudie sempat menyumbat satu gol, baru-baru ini, kita masih berharap Azman membuktikan sengatnya di depan gawang belum kunjung padam,'' kata beliau.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2004&dt=0106&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_07.htm#ixzz4djF6cOY6
© Utusan Melayu (M) Bhd