ARKIB : 12/01/2004
TIGA pemain Perak dan dua dari
Selangor dipanggil menjalani latihan dengan skuad kebangsaan sebagai persediaan
menghadapi perlawanan persahabatan dengan Jepun dan pusingan kelayakan Piala
Dunia.
Wakil Selangor ialah penjaga gol
Mohd. Sany Fahmy dan perantaranya, Mohd. Shukor Adan sementara trio Perak
terdiri daripada V. Saravanan, Liew Kit Kong dan R. Nanthakumar.
Kemasukan Sany dan Shukor
disahkan oleh pengurus pasukan Gergasi Merah, Datuk Satim Diman yang ditemui
selepas perlawanan persahabatan dengan Perak di Stadium Shah Alam, kelmarin.
Sumber pasukan Perak pula
menyebut, Saravanan (penyerang), Kit Kong dan Nanthakumar dari bahagian tengah
telah pun dipanggil melaporkan diri menjelang menentang Jepun pada 7 Februari
ini.
Bagaimanapun agak mengejutkan
ialah tercicirnya terus nama ketua pasukan Perak, Ahmad Shahrul Azhar Soffian
daripada skuad pelatih kebangsaan kali ini.
``Mungkin saya ini dah tua,''
katanya selepas perlawanan yang menyaksikan Selangor-Perak terikat 0-0. Tuan
rumah bakal menyertai Liga Perdana sementara pelawat ialah antara lapan pasukan
dalam Liga Super yang diperkenalkan musim ini.
Nama Ahmad Shahrul Azhar didapati
kian tersisih sejak dikatakan memohon Allan John Harris mengecualikannya
daripada mewakili negara ke Piala Tiger di Singapura dan Indonesia pada
Disember 2002.
Kali terakhir dia menyarung jersi
kuning negara ialah pada Sukan Asia di Busan, Oktober tahun yang sama. Rakan
sepasukannya, penyerang Khalid Jamlus turut diketepikan sejak itu.
Pusingan kelayakan Piala Dunia
pula bakal bermula pada 18 Mac dengan Malaysia diletakkan dalam kumpulan 4
benua Asia bersama-sama China, Kuwait dan Hong Kong.
Sany pernah menyertai skuad
kebangsaan ke Pra-Piala Asia di Manama, Bahrain ekoran kecederaan penjaga gol
utama, Azmin Azram Aziz tetapi masih belum dapat memintas penggantinya,
Syamsuri Mustafa.
Shukor pula merupakan salah
seorang penjaring gol ketika Malaysia seri dengan Bahrain dalam pusingan
pertama kelayakan itu di Stadium Nasional, Kuala Lumpur.
Nanthakumar tercicir daripada
skuad Pra-Piala Asia ekoran kecederaan sementara Kit Kong dan Saravanan
masing-masing pernah dipanggil mewakili skuad kebangsaan antara 2000 hingga
2002.
Skuad kebangsaan yang setakat ini
belum memiliki ketua jurulatihnya, bakal dibarisi lebih ramai pemain yang
berusia 23 tahun ke atas - sedikit berbeza daripada pasukan ke Sukan SEA
Vietnam dan Pra-Piala Asia, tahun lalu dan Piala Tiger 2002.
Ia berikutan langkah Persatuan
Bola Sepak Malaysia (FAM) mewujudkan dua pasukan bagi menghadapi dua tugasan -
Pra-Piala Dunia dan Pra-Olimpik tahun ini yang begitu padat jadualnya.
Skuad kebangsaan akan menghadapi
kelayakan Piala Dunia sementara skuad Bawah 23 Tahun di bawah bimbingan Harris
bagi Pra-Olimpik mulai 3 Mac.
Kali terakhir skuad kebangsaan
yang mengandungi ramai pemain melebihi 23 tahun diwujudkan ialah ketika
Pestabola Merdeka 2001 dengan dilatih oleh Norizan Bakar yang kini membimbing
Perlis.
Sementara itu, Satim berkata,
Selangor akur dengan keputusan FAM yang hanya memanggil dua pemainnya untuk
menjalani latihan bersama skuad kebangsaan kali ini.
``Kita kena sedar hakikat musim
lalu menyaksikan Selangor berada di tangga ketiga terbawah Liga Perdana Satu.
Mungkin bakat dan kemampuan pemain Selangor pun tak begitu menonjol,'' katanya.
Situasi ini didapati begitu
ketara bezanya memandangkan Selangor sejak era 70-an hingga 90-an cukup
dikenali sebagai skuad negeri penyumbang terbesar barisan pemain kebangsaan.
sumberArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2004&dt=0112&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_05.htm#ixzz4djrTf1OD
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan