Jumaat, 7 Julai 2017

Shukor antara 4 dikekalkan



ARKIB : 13/08/2006
KUALA LUMPUR – Ketua pasukan, Muhammad Shukor Adan adalah antara empat pemain yang dikekalkan oleh Jawatankuasa Pengurusan Pasukan Liga Super Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) bagi menghadapi kempen Liga Malaysia musim depan.

Tiga lagi pemain yang dikekalkan dalam rombakan besar-besaran skuad Merah Kuning ialah tiga pemain muda yang bermain di bahagian pertahanan iaitu Mohd. Fadhil Mohd. Hashim, Mohd. Razman Roslan dan P. Gunalan.

Keputusan sebulat suara itu dicapai pada mesyuarat pengurusan Liga Super Selangor yang dipengerusikan oleh Datuk Abdul Fatah Iskandar Isnin lalu.

Selain empat pemain tersebut yang dikekalkan, pengurus pasukan, Datuk Satim Diman dan jurulatih, Dollah Salleh turut mendapat mandat daripada jawatankuasa terbabit untuk terus mengemudi Selangor yang berwajah baru membariskan pemain bawah 23 tahun.

Ini bermakna sebahagian besar pemain senior serta bintang sensasi dari Indonesia, Bambang Pamungkas dan Ellie Aiboy yang membawa sinar buat Selangor menjulang tiga kejuaraan musim lalu, digugurkan terus untuk kempen musim akan datang.

‘‘Mengenai pemain lain yang tidak dilanjutkan kontrak, FAS telah mengadakan pertemuan untuk menamatkan kontrak mereka yang berakhir 31 Disember ini, lebih awal bagi memudahkan mereka mencari pasukan lain.

‘‘Bagi beberapa pemain yang mempunyai dua tahun kontrak, perbincangan turut diadakan untuk membayar pampasan,’’ kata sumber itu lagi.

Keputusan mengekalkan empat pemain tersebut sekali gus menamatkan spekulasi tindakan drastik yang diambil oleh Presiden FAS, Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo menggugurkan skuad musim ini.

Skuad Selangor, yang merangkul Piala FA, Piala Malaysia dan menjuarai Liga Perdana musim lalu, gagal mempertahankan semua kejuaraan itu musim ini

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0813&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4mAHiBvnb
© Utusan Melayu (M) Bhd