MyMetroArena

Meor Riduwan Meor Ahmad
am@hmetro.com.my
PERSATUAN Bolasepak Melaka United (MUSA) akan memanggil
Mohd Shukor Adan bagi mengetahui sebab pemain itu tidak bermain menentang
Pahang dalam suku akhir pertama Piala Malaysia 2019, di Stadium Hang Jebat,
Melaka, kelmarin.
Pengurus pasukan Melaka United (MU), Datuk Mohd Yusoff
Mahadi berkata, pihaknya akan berbincang dengan ketua jurulatih, Zainal Abidin
Hassan bagi mengetahui dan mencari penyelesaian terbaik 'kehilangan' pemain
pertahanan veteran itu.
“Saya diberitahu ini berlaku kerana masalah bayaran
gaji pemain terbabit dan akan memanggilnya dan berbincang dengan jurulatih
mengenai apa sebenar berlaku dan tindakan perlu supaya perkara ini tidak
berlaku dalam pasukan.
“Sebabnya kita mahu pemain dan jurulatih mesti ada kesefahaman
baik biarpun ada isu gaji. Kita akan cari jalan penyelesaian terbaik supaya
perkara negatif dapat dihindar pada masa depan," katanya.
Beliau mengulas status dimuat naik Shukor di Instagram
peribadinya kelmarin antara lain menyatakan tindakan tidak bermain menentang
Pahang kerana tidak dibayar gaji lima bulan sejak bersama MU.
Media pula melaporkan Zainal Abidin berkata, bekas
ketua pasukan skuad kebangsaan itu enggan menyarung jersi Melaka bagi baki
saingan musim 2019.
Mohd Yusoff yang juga Timbalan Presiden MUSA berkata,
dia berpendapat Zainal Abidin sudah berbincang dengan Shukor apabila
menggantikannya dengan Mohd Razman Roslan.
“Mungkin jurulatih merasakan pemain kena turun 100
peratus menentang Pahang.
“Jika rasa separuh hati atau tidak dapat menyumbang
secara jitu, mungkin jurulatih merasakan lebih baik dia (Shukor) dikeluarkan
daripada pasukan pada perlawanan itu," katanya.
Sementara itu, beliau mengakui perlu mendapatkan fakta
sebenar mengenai pertikaian gaji Shukor yang tertunggak sama ada tiga atau lima
bulan.
“Pada hemat saya, kita mula tidak bayar gaji pada Jun
lalu. Tapi saya perlu semak dengan pengurusan, bila kali terakhir kita bayar
gaji dia.
“Sama ada tiga bulan atau lima bulan saya perlu semak
khususnya Setiausaha Agung MUSA untuk dapat fakta tepat,” katanya.
SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24
September 2019 @ 11:18 PM