SUKAN»Bola
Isnin, 23 September 2019 | 7:10pm

SHUKOR Adan.
Zainal hormat keputusan Shukor
Oleh Nazri Abu Bakar
sukanteam@nstp.com.my
MELAKA: Ketua jurulatih Melaka United (MU) Zainal
Abidin Hassan menghormati keputusan kapten pasukan Mohd Shukor Adan yang enggan
disenarai dalam skuad Hang Tuah ketika berdepan Pahang di Stadium Hang Jebat,
malam tadi.
Bekas pengendali Selangor dan Pulau Pinang terbabit
berkata, secara jujur Shukor memberitahu dia tidak mahu bermain berikutan
hatinya mungkin tiada pada perlawanan terbabit.
“Saya hormati keputusannya,” kata Zainal mengulas
keputusan bekas kapten kebangsaan berkenaan yang tidak bermain pada perlawanan
suku akhir pertama Piala Malaysia sehingga mendorongnya menurunkan Razman
Roslan sebagai pengganti di barisan benteng.
“Sama ada dia ingin bermain atau tidak di Kuantan
(timbal balik) saya tidak pasti. Apapun fokus adalah berdepan lawan Ahad ini yang perlu terus diutamakan.
“Perancangan perlu diatur teliti untuk aksi terbabit.
Selagi perlawanan belum berakhir perjuangan masih belum tamat. Dalam bola sepak
semua boleh berlaku.”
Zainal begitupun jelas enggan mengulas lanjut kemelut
berkenaan yang menyaksikan skuad kendaliannya tumbang 0-3 kepada Tok Gajah.
Malah dia menolak sebarang soalan berkaitan isu dalaman
skuad berkenaan sehingga bekas pemain Selangor, PDRM dan Negeri Sembilan
terbabit enggan disenaraikan.
Sebelum ini, NSTP melaporkan di sebalik keceriaan layak
ke suku akhir Piala Malaysia, skuad MU dibelenggu masalah tunggakan dua bulan
gaji.
Perkara itu bukan khabar angin sebaliknya pengurusan MU
tampil mengakui bahawa mereka berhutang dua bulan gaji kepada semua pemain.
Malah pelbagai reaksi di media sosial terutama dalam
kalangan peminat setia Hang Tuah yang mahu Persatuan Bolasepak Melaka (MUSA)
mengambil langkah segera untuk mengatasi masalah berkenaan.
SUMBER-BERITA HARIAN ONLINE Isnin, 23 September 2019 |
7:10pm
Tiada ulasan:
Catat Ulasan