ARKIB : 01/10/2005
KUALA LUMPUR - Beraksi pada
perlawanan akhir Piala Malaysia kali kedua berturut-turut memberi kelebihan
buat Perlis untuk sekali lagi bergelar juara apabila bertemu Selangor di
Stadium Nasional Bukit Jalil, malam ini.
Ketua pasukan Perlis, Mohd.
Kaironnisam Shahabudin berkata, rata-rata pemain Singa Utara telah menimba
pengalaman bahang perlawanan akhir apabila menewaskan Kedah 1-0 tahun lalu.
``Dari segi mental kami
memiliki kelebihan kerana berpengalaman beraksi di pentas final. Bahang
perlawanan akhir berlainan dengan perlawanan biasa.
``Dengan barisan pemain yang
secara keseluruhan serupa ketika aksi final tahun lalu, saya percaya kami mampu
mengulangi kejayaan yang sama,'' katanya.
Menurut Kaironnisam, semua
rakan sepasukan sudah bersedia sepenuhnya dari segi fizikal dan mental untuk
menyekat Selangor dari merampas Piala Malaysia.
``Pemain menunjukkan semangat
yang berkobar-kobar menjelang perlawanan esok (malam ini) dan aksi 90 minit
akan menjawab segala-galanya,'' katanya.
Sementara itu, ketua pasukan
bola sepak Selangor, Muhammad Shukor Adan berkata, dia serta seluruh pemain
telah berikrar untuk memastikan Piala Malaysia menjadi milik Merah Kuning malam
ini.
Menurut Shukor, semua pemain
berada pada situasi yang cukup baik dan sudah bersedia untuk menyekat Perlis
daripada terus bergelar juara.
Katanya, peluang terbaik buat
Selangor untuk menjulang tiga gelaran dalam semusim tidak akan disia-siakan
begitu sahaja.
``Kami harus menang Piala
Malaysia untuk Presiden FAS, Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo, penyokong setia
serta seluruh rakyat di Selangor,'' ujarnya ketika ditemui di Stadium Nasional
Bukit Jalil, semalam.
Shukor yang turut membantu
Selangor menjulang Piala Malaysia pada 2002, begitu yakin rakannya akan
memberikan komitmen lebih daripada 120 peratus.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=1001&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4j5psDSaZ
© Utusan Melayu (M) Bhd