Ahad, 4 Jun 2017

Kaironnisam, Shukor tidak sabar



ARKIB : 01/10/2005

KUALA LUMPUR - Beraksi pada perlawanan akhir Piala Malaysia kali kedua berturut-turut memberi kelebihan buat Perlis untuk sekali lagi bergelar juara apabila bertemu Selangor di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam ini.

Ketua pasukan Perlis, Mohd. Kaironnisam Shahabudin berkata, rata-rata pemain Singa Utara telah menimba pengalaman bahang perlawanan akhir apabila menewaskan Kedah 1-0 tahun lalu.

``Dari segi mental kami memiliki kelebihan kerana berpengalaman beraksi di pentas final. Bahang perlawanan akhir berlainan dengan perlawanan biasa.

``Dengan barisan pemain yang secara keseluruhan serupa ketika aksi final tahun lalu, saya percaya kami mampu mengulangi kejayaan yang sama,'' katanya.

Menurut Kaironnisam, semua rakan sepasukan sudah bersedia sepenuhnya dari segi fizikal dan mental untuk menyekat Selangor dari merampas Piala Malaysia.

``Pemain menunjukkan semangat yang berkobar-kobar menjelang perlawanan esok (malam ini) dan aksi 90 minit akan menjawab segala-galanya,'' katanya.

Sementara itu, ketua pasukan bola sepak Selangor, Muhammad Shukor Adan berkata, dia serta seluruh pemain telah berikrar untuk memastikan Piala Malaysia menjadi milik Merah Kuning malam ini.

Menurut Shukor, semua pemain berada pada situasi yang cukup baik dan sudah bersedia untuk menyekat Perlis daripada terus bergelar juara.

Katanya, peluang terbaik buat Selangor untuk menjulang tiga gelaran dalam semusim tidak akan disia-siakan begitu sahaja.

``Kami harus menang Piala Malaysia untuk Presiden FAS, Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo, penyokong setia serta seluruh rakyat di Selangor,'' ujarnya ketika ditemui di Stadium Nasional Bukit Jalil, semalam.

Shukor yang turut membantu Selangor menjulang Piala Malaysia pada 2002, begitu yakin rakannya akan memberikan komitmen lebih daripada 120 peratus.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=1001&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4j5psDSaZ
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan