ARKIB : 28/10/2010
Oleh MOHAMMAD YASIR JAAFAR
sukan@utusan.com.my
Pasukan bola sepak Negeri
Sembilan menjalani latihan di Seremban, semalam sebagai persiapan perlawanan
akhir Piala Malaysia menentang Kelantan di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Sabtu
ini. - UTUSAN/MD. SHAHJEHAN MAAMIN
SEREMBAN - Empat pemain 'otai'
skuad Negeri Sembilan menyatakan tekad untuk mengganyang Kelantan biarpun
diasak bertubi-tubi, lebih-lebih lagi dipikul tugas berat mempertahankan
kejuaraan Piala Malaysia yang disandang pada tahun 2009.
Kata mereka, misi 2010 di Stadium
Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur ini lebih besar cabarannya, bukan setakat
menjulang kembali Piala Malaysia ini, tetapi berhadapan 'musuh' yang sama-sama
ditemui pada babak akhir 2009 lalu.
'Otai' Hoben Jang Hoben, Rezal
Zambry Yahya, Idris Abdul Karim, Muhammad Shukor Adan dan Ching Hong Aik adalah
sandaran skuad ini dalam menghadapi Kelantan, Sabtu ini dan mereka mempunyai
cerita untuk dikhabarkan kepada pemain dan penyokong Kelantan.
''Kita akan lenyapkan impian Red
Warriors untuk membalas dendam kekalahan mereka musim lalu. Kita akan
pertahankan Piala Malaysia untuk kali keduanya," kata ketua pasukan,
Rezal, 32, ketika ditemui di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, di sini,
semalam.
Katanya, strategi dan gerak
permainan yang diaturkan oleh jurulatih Wan Jamak Wan Hasan pasti menyengat
lawan pada babak akhir Sabtu ini.
''Saya akui beban memang di bahu
kami. Tetapi kami bukan pasukan pilihan, jika dibandingkan dengan Kelantan.
Kami adalah pasukan bertahan yang akan melakukan apa sahaja untuk memastikan
piala itu bertakhta di negeri ini," katanya.
Tambah Rezal, sebagai pemain
senior dalam pasukan ini, dia optimis untuk terus meletakkan keyakinan kepada
rakan sepasukan bahawa mereka boleh menggegar Stadium Nasional Bukit Jalil
dengan kejutan yang mungkin tidak dapat dirasakan oleh pemain Kelantan.
''Pemain muda dan barisan sedia
ada telah buktikan komitmen mereka ketika kami berjaya menjulang Piala Malaysia
musim lalu termasuk Piala FA," katanya.
Rezal yang masih bergelut dengan
kecederaan pada lututnya tetap meletakan azam untuk beraksi pada babak akhir
ini.
''Tunggu sahaja Jumaat ini, kalau
semua baik, saya akan turun beraksi dengan persetujuan jurulatih,"
tegasnya.
Sementara itu, Muhammad Shukor,
32, mempunyai tugas besar memastikan benteng pertahanan terus kukuh tanpa boleh
dilepasi barisan serangan Kelantan.
''Bukan semua pemain bertuah
kerana dapat beraksi pada babak akhir ini dan tentulah bagi pemain 'otai'
seperti kami semua, akan menjadi penyuntik semangat kepada pemain muda untuk
beraksi dengan lebih baik.
''Sudah tentulah sebagai 'otai'
dalam pasukan, kami akan sentiasa memberi perangsang dan kata-kata semangat
kepada rakan sepasukan dan tidak terlalu alpa dengan taktik yang dibawa lawan
di tengah padang," katanya.
Dalam pada itu, Idris, 34,
berkata, dia sudah tiga kali bermain di babak akhir Piala Malaysia dan percaya
kehadiran ramai pemain muda di dalam skuad Negeri Sembilan akan memberikan
kelebihan kepada pasukan ini.
''Walaupun mereka ini muda,
tetapi mempunyai bakat yang sudah digilap oleh Wan Jamak. Kami akan terus
membimbing mereka di tengah padang.
''Saya akan bermain sebaik
mungkin dan memastikan Piala Malaysia ini tidak keluar diusung pemain Kelantan
ke Kota Bahru. Saya mahu piala ini diusung dan dibawa kembali ke
Seremban," katanya.
Sementara itu, bek kiri Negeri
Sembilan yang juga merupakan pemain paling senior, Hong Aik, 35, beranggapan
tugas Negeri Sembilan mempertahankan gelaran juara sebenarnya lebih sukar
berbanding Kelantan yang ingin bergelar juara.
''Saya tahu ia akan memberikan
sedikit tekanan kepada kami, namun ia bukan alasan untuk tidak melangkah ke
stadium itu dengan kejayaan.
''Kami sudah bersedia untuk
berhadapan Kelantan, penyokong juga diharap turun beramai-ramai untuk
memberikan sokongan. Kami akan bermain dengan cara yang terbaik. Memang pasti
dicari, tetapi bola itu bulat, macam-macam boleh berlaku," katanya.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=1028&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz5cxDhn5ko
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan