MyMetroArena
Nazri Abu
Bakar
sukanteam@nstp.com.my

MELAKA: Buat
pertama kali dalam sejarah hidupnya, Hajrahbi Abd Ghani, 60, ibu kepada bekas
kapten kebangsaan, Shukor Adan hadir ke stadium bagi menyaksikan anaknya
beraksi di padang.
Hajrahbi yang
teruja dengan kepulangan anak sulung daripada empat beradik itu ke pangkuan
pasukan Melaka United (MU) sanggup ke Stadium Hang Jebat bersama menantu lelaki
dan tiga anak Shukor ketika MU berdepan Selangor United, Sabtu lalu. Beliau
yang ditemui berkata, selepas 20 tahun Shukor merantau dengan bermain di luar
Melaka, penyertaannya bersama skuad Hang Tuah kali ini amat menggembirakannya.
“Saya tidak pernah melihat aksi dia (Shukor) di depan mata sendiri dengan hanya
sekadar menonton di televisyen, sekali gus menyebabkan keinginan ke stadium
untuk memberi sokongan kepadanya kali ini.
“Berita
mengenai kemahiran dan kesungguhan Shukor biasa saya dengar dan baca di akhbar
dan media tempatan, selain bicara adik-beradik dan penduduk kampung saja. Jadi,
kali ini saya mahu melihat persembahannya.
“Apa yang
pasti, saya amat gembira dan berterima kasih kepada pihak pengurusan, jurulatih
dan penyokong yang sentiasa mengharapkan kejayaan Shukor bersama pasukan negeri
kelahirannya,”katanya.
Menceritakan
pembabitan awal pemain veteran berasal dari Kampung Bukit Piatu berusia 40
tahun itu, Hajrahbi berkata, tiada siapa yang menggalakkanya bermain kecuali
atas minat dan kemahuan sendiri sehingga Shukor sering menyembunyikan
penyertaannya dalam pasukan.
“Namun,
menyedari kebolehannya, arwah suami saya segera memberi galakan dan membawanya
menaiki motosikal untuk menyertai latihan dan perlawanan bola sepak di
peringkat sekolah.
“Bagaimanapun,
bapanya meninggal dunia akibat serangan jantung ketika berusia awal 40-an dan
tidak sempat melihat kejayaan Shukor membarisi skuad utama kebangsaan,”katanya.
Sementara itu,
Shukor turut terkejut dengan kehadiran ibunya ke stadium buat pertama kali
dalam karier bola sepaknya.
“Sokongan ibu
menguatkan lagi semangat saya untuk membantu kejayaan MU pada saingan Liga
Malaysia musim ini,”katanya.
SUMBERArtikel
ini disiarkan pada : Khamis, 3 January 2019 @ 2:07 PM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan