MyMetroNode

Singapura: Selepas diketepikan
dalam dua perlawanan awal, jurulatih Harimau Malaya Dollah Salleh dijangka
menagih semula khidmat pemain pertahanan tengah Mohd Muslim Ahmad (gambar) bagi
perlawanan terakhir Kumpulan B Piala AFF 2014 di Stadium Nasional, Kallang hari
ini.
Pemain berusia 23 tahun itu tidak
diturunkan ketika Malaysia seri 0-0 dalam perlawanan pembukaan kerana digantung
perlawanan dan tempatnya diserahkan kepada Mohd Fadhli Shas untuk bergandingan
bersama Mohd Afif Amiruddin.
Namun selepas kubu negara
dibolosi tiga kali ketika menentang Thailand Rabu lalu, Dollah dijangka
memanggil kembali Muslim untuk membentuk kombinasi bersama kapten Shukor Adan
yang sebelum ini bermain di posisi tengah.
Bagi Muslim yang menjadi tonggak
skuad juara Piala AFF 2010, dia tidak sabar untuk kembali beraksi biarpun bakal
berdepan cabaran cukup sukar menentang pasukan tuan rumah dan juara bertahan
Singapura.
“Keputusan siapa akan bermain
esok (hari ini) terletak di tangan jurulatih. Tapi jika diberi peluang sudah
pasti saya akan berusaha menjalankan tugas itu dengan baik.
“Tidak kira siapa yang bermain,
semua pemain perlu menunjukkan semangat juang tinggi,” katanya ketika ditemui
selepas sesi latihan semalam.
Jika benar Muslim diturunkan, dia
akan digandingkan bersama Shukor buat kali pertama.
“Kali pertama bermain dengan
Shukor tidak penting sebaliknya terpulang kepada pemain itu sendiri untuk
bermain dengan baik di padang.
“Kekuatan Singapura terletak
kepada gerakan set-piece jadi kami perlu berhati-hati,” katanya.
Berikutan Shukor beraksi di
bahagian pertahanan, tugas asalnya di posisi tengah bakal diserahkan kepada
Gary Steven Robbat untuk bersama pemain perancang Safiq Rahim.
SUMBERArtikel ini disiarkan pada
: Sabtu, 29 November 2014 @ 5:10 AM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan