Khamis, 11 April 2019

Shukor berduka dalam gembira


MyMetroNode
Singapura: “Alang-alang sudah sampai ke separuh akhir, lebih baik terus ke final,” kata Shukor Adan selepas mengetuai barisan Harimau Malaya menyingkirkan juara bertahan Singapura pada aksi terakhir Kumpulan B Piala AFF dengan kemenangan 3-1 di Stadium Nasional Kallang, kelmarin.

Tegasnya, kem negara kini mendapat semangat baru selepas meraih kemenangan ke atas musuh tradisi itu untuk ke separuh akhir bersama juara kumpulan Thailand.

Namun halangan yang bakal Malaysia tempuhi selepas ini adalah Vietnam, juara Kumpulan A yang pernah merangkul gelaran 2008 serta menewaskan mereka 1-3 pada aksi persahabatan sebelum Piala AFF 2014 bermula.

“Saya bersyukur kerana impian untuk ke separuh akhir sudah tercapai, pemain sudah memberikan segala-galanya untuk tidak menghampakan peminat,” kata Shukor yang ditemui selepas tamat perlawanan kelmarin.

Bagaimanapun pemain berusia 35 tahun itu pasti kecewa kerana tidak dapat bersama rakan sepasukannya berdepan Vietnam pada separuh akhir pertama di Stadium Shah Alam Ahad ini kerana penggantungan satu perlawanan.

Shukor yang beralih posisi dari tengah ke pertahanan tengah pada perlawanan menentang Singapura mengumpul dua kad kuning dan hanya boleh beraksi semula pada perlawanan separuh akhir kedua di Hanoi pada 11 Disember.

“Saya agak terkilan kerana terlepas aksi pertama dengan Vietnam, tapi saya percaya pemain lain sudah bersedia dan tidak akan mensia-siakan peluang bermain di depan penyokong sendiri,” kata pemain FELDA United itu.

Selain Shukor, turut tidak dapat beraksi Ahad ini penyerang Amri Yahyah yang mengumpul kad kuning kedua dalam perlawanan menentang Singapura.

Berikutan ketiadaan Shukor, jurulatih Harimau Malaya Dollah Salleh mempunyai pilihan untuk menurunkan Afif Amiruddin atau Fadhli Shas bagi bergandingan dengan Muslim Ahmad.

SUMBERArtikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Disember 2014 @ 5:03 AM

Tiada ulasan:

Catat Ulasan