Oleh Syafiq Aznan - Mei 9, 2021 @ 1:02pm
syafiq.aznan@bh.com.my
Jaringan yang dilakukan pemain KL City FC, Shukor Adan ketika mengikat UiTM FC pada aksi Liga Super di Stadium UiTM Shah Alam, malam tadi.
KUALA LUMPUR: Jika bola sepak dunia ada Diego Maradona, Liga Super pula ada 'Shukordona.'
Ini selepas Shukor Adan yang juga pemain KL City FC itu mengikut' jejak langkah' legenda bola sepak Argentina itu apabila menjaringkan gol menggunakan tangan ketika menentang UiTM FC di Stadium UiTM Shah Alam, malam tadi.
Walaupun kelihatan cuba menanduk bola daripada sepakan percuma namun tindakan licik pemain veteran berusia 41 tahun itu yang menaikkan tangan dalam situasi kelam kabut di hadapan gol tidak disedari pengadil, Mohd Shahrizan Mohamad Solihim.
Walaupun jaringan itu pada mulanya dianggap sebagai jaringan sendiri pemain UiTM FC namun komisioner perlawanan mengesahkan jaringan itu menjadi milik Shukor.
Maradona menjaringkan gol menggunakan tangan ketika suku akhir Piala Dunia 1986 menentang England.
Maradona menjaringkan gol menggunakan tangan ketika suku akhir Piala Dunia 1986 menentang England.
Selepas jaringan terbabit dilakukan, pemain UiTM FC cuba melakukan bantahan kepada Mohd Shahrizan namun gol terbabit tetap disahkan sekali gus menjadikan kedudukan 1-1 pada minit akhir perlawanan.
Jaringan penyamaan terbabit menyelamatkan skuad 'Warga Kota' daripada diaibkan pasukan tercorot Liga Super itu yang mendahului menerusi sepakan penalti Kwon Yong Hyun pada minit ke-82.
Situasi itu sekali gus memusnahkan harapan skuad bimbingan Frank Bernhardt itu untuk meraih kemenangan sulung musim ini dan sekadar meraih dua mata daripada 13 perlawanan.
Dengan jaringan kontroversi terbabit, bekas pemain kebangsaan itu turut mencipta rekod sebagai pemain paling tua yang menjaringkan gol dalam saingan Liga Malaysia (Liga M).
Selepas liga kembali bersambung Julai nanti, KL City akan menempah pertembungan 'Derbi Lembah Klang' bertemu Selangor FC di laman sendiri sementara UiTM FC berdepan tugas sukar bertemu pendahulu, Johor Darul Ta'zim (JDT).1
1https://www.bharian.com.my/sukan/bola/2021/05/815206/shukor-ulangi-gol-tangan-tuhan-maradona
Tiada ulasan:
Catat Ulasan