Jumaat, 18 Januari 2019

Empat 'otai' NS janji gegar aksi final


ARKIB : 28/10/2010
Oleh MOHAMMAD YASIR JAAFAR
sukan@utusan.com.my
 
Pasukan bola sepak Negeri Sembilan menjalani latihan di Seremban, semalam sebagai persiapan perlawanan akhir Piala Malaysia menentang Kelantan di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Sabtu ini. - UTUSAN/MD. SHAHJEHAN MAAMIN

SEREMBAN - Empat pemain 'otai' skuad Negeri Sembilan menyatakan tekad untuk mengganyang Kelantan biarpun diasak bertubi-tubi, lebih-lebih lagi dipikul tugas berat mempertahankan kejuaraan Piala Malaysia yang disandang pada tahun 2009.

Kata mereka, misi 2010 di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur ini lebih besar cabarannya, bukan setakat menjulang kembali Piala Malaysia ini, tetapi berhadapan 'musuh' yang sama-sama ditemui pada babak akhir 2009 lalu.

'Otai' Hoben Jang Hoben, Rezal Zambry Yahya, Idris Abdul Karim, Muhammad Shukor Adan dan Ching Hong Aik adalah sandaran skuad ini dalam menghadapi Kelantan, Sabtu ini dan mereka mempunyai cerita untuk dikhabarkan kepada pemain dan penyokong Kelantan.

''Kita akan lenyapkan impian Red Warriors untuk membalas dendam kekalahan mereka musim lalu. Kita akan pertahankan Piala Malaysia untuk kali keduanya," kata ketua pasukan, Rezal, 32, ketika ditemui di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, di sini, semalam.

Katanya, strategi dan gerak permainan yang diaturkan oleh jurulatih Wan Jamak Wan Hasan pasti menyengat lawan pada babak akhir Sabtu ini.

''Saya akui beban memang di bahu kami. Tetapi kami bukan pasukan pilihan, jika dibandingkan dengan Kelantan. Kami adalah pasukan bertahan yang akan melakukan apa sahaja untuk memastikan piala itu bertakhta di negeri ini," katanya.

Tambah Rezal, sebagai pemain senior dalam pasukan ini, dia optimis untuk terus meletakkan keyakinan kepada rakan sepasukan bahawa mereka boleh menggegar Stadium Nasional Bukit Jalil dengan kejutan yang mungkin tidak dapat dirasakan oleh pemain Kelantan.

''Pemain muda dan barisan sedia ada telah buktikan komitmen mereka ketika kami berjaya menjulang Piala Malaysia musim lalu termasuk Piala FA," katanya.

Rezal yang masih bergelut dengan kecederaan pada lututnya tetap meletakan azam untuk beraksi pada babak akhir ini.

''Tunggu sahaja Jumaat ini, kalau semua baik, saya akan turun beraksi dengan persetujuan jurulatih," tegasnya.

Sementara itu, Muhammad Shukor, 32, mempunyai tugas besar memastikan benteng pertahanan terus kukuh tanpa boleh dilepasi barisan serangan Kelantan.

''Bukan semua pemain bertuah kerana dapat beraksi pada babak akhir ini dan tentulah bagi pemain 'otai' seperti kami semua, akan menjadi penyuntik semangat kepada pemain muda untuk beraksi dengan lebih baik.

''Sudah tentulah sebagai 'otai' dalam pasukan, kami akan sentiasa memberi perangsang dan kata-kata semangat kepada rakan sepasukan dan tidak terlalu alpa dengan taktik yang dibawa lawan di tengah padang," katanya.

Dalam pada itu, Idris, 34, berkata, dia sudah tiga kali bermain di babak akhir Piala Malaysia dan percaya kehadiran ramai pemain muda di dalam skuad Negeri Sembilan akan memberikan kelebihan kepada pasukan ini.

''Walaupun mereka ini muda, tetapi mempunyai bakat yang sudah digilap oleh Wan Jamak. Kami akan terus membimbing mereka di tengah padang.

''Saya akan bermain sebaik mungkin dan memastikan Piala Malaysia ini tidak keluar diusung pemain Kelantan ke Kota Bahru. Saya mahu piala ini diusung dan dibawa kembali ke Seremban," katanya.

Sementara itu, bek kiri Negeri Sembilan yang juga merupakan pemain paling senior, Hong Aik, 35, beranggapan tugas Negeri Sembilan mempertahankan gelaran juara sebenarnya lebih sukar berbanding Kelantan yang ingin bergelar juara.

''Saya tahu ia akan memberikan sedikit tekanan kepada kami, namun ia bukan alasan untuk tidak melangkah ke stadium itu dengan kejayaan.

''Kami sudah bersedia untuk berhadapan Kelantan, penyokong juga diharap turun beramai-ramai untuk memberikan sokongan. Kami akan bermain dengan cara yang terbaik. Memang pasti dicari, tetapi bola itu bulat, macam-macam boleh berlaku," katanya.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=1028&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz5cxDhn5ko
© Utusan Melayu (M) Bhd

Selasa, 8 Januari 2019

Sathia mampu bawa perubahan - Shukor


 su_02 : SHUKOR (dua dari kiri) bersalaman dengan kapten pasukan Hanoi
SHUKOR (dua dari kiri) bersalaman dengan kapten pasukan Hanoi FC, Gonzalo Marronkle selepas sidang akhbar di Shah Alam semalam yang turut dihadiri Sathianathan (kiri) dan jurulatih Hanoi FC, Chu Dinh Nghiem.

KAPTEN skuad Felda United, Shukor Adan menyifatkan kehadiran jurulatih baharu, B. Sathianathan mampu memainkan peranan penting dalam misi mengembalikan semula imej pasukan tersebut.

Bekas pemain kebangsaan berusia 37 tahun itu berkata, para pemain dapat menerima segala arahan diberikan bekas jurulatih kebangsaan itu dan hasilnya skuad The Fighters belum lagi tewas dalam tiga pertemuan terakhir Liga Super musim ini.


Sathianathan dilantik sebagai jurulatih baharu Felda United bagi menggantikan Azmi Mohamed pada 20 Februari lepas.

"Bagi saya, kehadiran jurulatih Sathianathan banyak memainkan peranan penting dalam setiap perlawanan sebelum ini dan hasil didikan beliau, pasukan kami masih belum kalah dalam tiga perlawanan terakhir liga domestik.

"Pasukan kami memang memerlukan seorang jurulatih ber­pengalaman seperti beliau dan apa saya dapat lihat, semua pemain boleh menerima setiap arahan yang diberikan," kata Shukor pada sidang akhbar menjelang aksi peringkat Kumpulan G kempen Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) menentang Hanoi FC di Shah Alam semalam.

Sehubungan itu, dia menggesa rakan-rakan sepasukannya agar memberikan aksi terbaik pada kempen Piala AFC itu untuk mengutip tiga mata pertama, sekali gus menghidupkan peluang layak ke pusingan seterusnya.

"Kita tidak mahu lagi kehilangan mata pada aksi di laman sendiri. Selepas sesi latihan pagi tadi (semalam), jurulatih memberikan taklimat mengenai perlawanan esok (hari ini) dan saya berharap semua pemain dapat memberikan yang terbaik," katanya.

Felda United menduduki tangga tercorot Kumpulan G selepas tewas kepada kelab Singapura, Tampine Rovers 1-2, manakala Hanoi FC di kedudukan ketiga dengan satu mata selepas seri 1-1 dengan kelab Filipina, Ceres-Negros.

Dalam pada itu, Shukor berkata, faktor kurang pengalaman bermain pada Piala AFC merupakan sebab utama Felda United tewas 1-2 pada perlawanan pembukaan menentang Tampines Rovers sebelum ini.
KOSMO ONLINE

Khamis, 3 Januari 2019

Ibu teruja tengok aksi Shukor


MyMetroArena
Nazri Abu Bakar
sukanteam@nstp.com.my
 
MELAKA: Buat pertama kali dalam sejarah hidupnya, Hajrahbi Abd Ghani, 60, ibu kepada bekas kapten kebangsaan, Shukor Adan hadir ke stadium bagi menyaksikan anaknya beraksi di padang.

Hajrahbi yang teruja dengan kepulangan anak sulung daripada empat beradik itu ke pangkuan pasukan Melaka United (MU) sanggup ke Stadium Hang Jebat bersama menantu lelaki dan tiga anak Shukor ketika MU berdepan Selangor United, Sabtu lalu. Beliau yang ditemui berkata, selepas 20 tahun Shukor merantau dengan bermain di luar Melaka, penyertaannya bersama skuad Hang Tuah kali ini amat menggembirakannya. “Saya tidak pernah melihat aksi dia (Shukor) di depan mata sendiri dengan hanya sekadar menonton di televisyen, sekali gus menyebabkan keinginan ke stadium untuk memberi sokongan kepadanya kali ini.

“Berita mengenai kemahiran dan kesungguhan Shukor biasa saya dengar dan baca di akhbar dan media tempatan, selain bicara adik-beradik dan penduduk kampung saja. Jadi, kali ini saya mahu melihat persembahannya.

“Apa yang pasti, saya amat gembira dan berterima kasih kepada pihak pengurusan, jurulatih dan penyokong yang sentiasa mengharapkan kejayaan Shukor bersama pasukan negeri kelahirannya,”katanya.

Menceritakan pembabitan awal pemain veteran berasal dari Kampung Bukit Piatu berusia 40 tahun itu, Hajrahbi berkata, tiada siapa yang menggalakkanya bermain kecuali atas minat dan kemahuan sendiri sehingga Shukor sering menyembunyikan penyertaannya dalam pasukan.

“Namun, menyedari kebolehannya, arwah suami saya segera memberi galakan dan membawanya menaiki motosikal untuk menyertai latihan dan perlawanan bola sepak di peringkat sekolah.

“Bagaimanapun, bapanya meninggal dunia akibat serangan jantung ketika berusia awal 40-an dan tidak sempat melihat kejayaan Shukor membarisi skuad utama kebangsaan,”katanya.

Sementara itu, Shukor turut terkejut dengan kehadiran ibunya ke stadium buat pertama kali dalam karier bola sepaknya.

“Sokongan ibu menguatkan lagi semangat saya untuk membantu kejayaan MU pada saingan Liga Malaysia musim ini,”katanya.

SUMBERArtikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 January 2019 @ 2:07 PM