ARKIB : 13/07/2004
PEMAIN negara, Tengku Hazman Raja Hassan (no. 15) cuba melepasi asakan
yang dilakukan pemain Singapura dalam perlawanan persahabatan di Stadium KLFA
Cheras, semalam. Malaysia menang 2-0. - Gambar Abdul Nazir Mohamed.
|
MALAYSIA mengambil kesempatan
di atas kepincangan Singapura yang terpaksa bermain 10 orang sebelum mencipta
kemenangan 2-0 dalam perlawanan persahabatan
di Stadium KLFA Cheras, semalam, lapor JOHARI SHAWAL.
Bagaimanapun Malaysia terpaksa
menunggu hingga babak kedua untuk menembusi gawang Singapura selepas pemain
lawan, Tan Kim Leng dibuang padang pada penghujung babak pertama.
Pemain gantian, Mohd. Shukor
Adan membuka jaringan buat Malaysia pada minit ke-65 sebelum ketua pasukan,
Akmal Rizal Rakhli menjaringkan gol kedua pada minit ke-90.
Gol pertama skuad negara
berpunca daripada sepakan sudut Indra Putra Mahayuddin yang ditanduk ke
belakang K.Nanthakumar sebelum disambar Shukor untuk menewaskan penjaga gol Singapura,
Hassan Sunny.
Singapura bermain baik pada
awal permainan tetapi tiba-tiba hilang tumpuan selepas Tan Kim Leng dibuang
padang oleh pengadil perlawanan dari Thailand, Waiyabot Anucha pada minit ke-40
kerana menendang bola ke arah pengadil.
Begitu pun skuad negara masih
gagal menembusi benteng kebal Singapura walaupun beberapa serangan dilancarkan
menerusi gandingan pemain tengah, Eddy Helmi Manan, Tengku Azman Raja Hassan
dan Nanthakumar.
Ketumpulan barisan serangan
yang diketuai Akmal dan Indraputra juga menggagalkan usaha untuk mendapatkan
gol awal.
Pasukan bimbingan Allan Harris
bagaimanapun tampil pada babak kedua dengan lebih bertenaga namun Singapura
lebih banyak mengasak kubu Malaysia untuk mencari gol penyamaan.
Akmal bagaimanapun memperoleh peluang
terbaik pada pada minit ke-55 menerusi gerakan satu dua dengan Fadzli Shaari
tetapi bola tandukannya tersasar sedikit di atas palang gol Singapura.
Selepas Shukor menjaringkan
gol pertama, Malaysia mula menguasai permainan tetapi hanya pada minit-minit
terakhir perlawanan berjaya menggandakan jaringan.
Skuad negara menghukum
kelalaian barisan pertahanan Singapura apabila Akmal yang tidak dikawal
melarikan bola secara solo sebelum merembat rendah dari luar kotak penalti ke
sebelah kiri gawang lawan.
Ketika Akmal membawa bola itu,
pemain Singapura menyangkakan permainan dihentikan untuk memberikan sepakan
percuma sebaliknya pengadil meneruskannya.
Ini merupakan kemenangan
ketiga skuad negara ke atas Singapura sejak Piala Tiger 2002 dan terakhir pada
Sukan Sea 2003 di Vietnam lalu.
Ia juga menjadi kemenangan
moral skuad Allan menjelang perlawanan persahabatan dengan kelab Liga Perdana
England, Norwich City pada Sabtu ini.
sumberArtikel
Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2004&dt=0713&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4fAMtwdvj
© Utusan Melayu
(M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan