Devinder Singh
devinder@nst.com.my

SHUKOR Adan sudah mengecapi
pelbagai kejayaan dalam kancah bola sepak profesional tetapi bagi pemain tengah
FELDA United itu, masih ada kerja yang belum diselesaikan.
Bekas kapten kebangsaan berusia
38 tahun ini kini begitu hampir untuk melangkah ke final Piala Malaysia buat
kali kelapan selepas FELDA mengikat juara bertahan Kedah 1-1 pada aksi separuh
akhir pertama di Jengka Ahad lalu.
Malah jika dia dapat menjulang
trofi paling berprestij Liga Malaysia itu buat kali kelima pun, ia masih belum
mampu mempengaruhi Shukor untuk meletakkan noktah dalam kariernya.
“Selagi saya sihat dan cergas
untuk bermain, saya akan terus bermain,” kata Shukor yang belum mahu memikirkan
soal persaraan.
“Bagi saya usia hanyalah
sekadar angka. Jika saya masih boleh berlari di atas padang, saya akan
meneruskannya.”
Pengendali FELDA B Sathianathan
antara individu yang mengagumi kepimpinan dan disiplin Shukor, dan tidak ada
sebab untuk dia tidak menyenaraikannya dalam kesebelasan utama.
“Kenapa Shukor mampu bertahan
begitu lama? Ini kerana dia seorang pemain yang berdisiplin dan tidak ada
pemain lain yang tampil untuk mencabar posisinya,” kata Sathianathan.
Shukor, dua kali memenangi
Piala Malaysia bersama Selangor (2002 dan 2005) dan Negeri Sembilan (2009,
2011), berharap dapat membantu FELDA menjuarai trofi itu buat pertama kali.
“Keputusan seri lebih baik
berbanding kalah, jadi kami tidak rugi apa-apa pada aksi kedua nanti,” kata
Shukor.
“Kami sedar Kedah pasukan yang
kuat, mereka adalah juara bertahan dan mara ke final sejak dua tahun lalu.”
“Saya yakin dengan skuad yang
kami ada dan kata-kata semangat daripada jurulatih, kami akan berjuang
habis-habisan untuk mencipta sejarah buat FELDA dan mara ke final buat julung
kalinya.”
“Kami mempunyai baki 90 minit
di Alor Setar dan kami akan memberikan komitmen penuh seperti yang kami lakukan
dalam perlawanan pertama.”
Dalam perlawanan berkenaan,
Hadin Azman menjaringkan gol penyamaan tiga minit sebelum tamat permainan
selepas Sandro Mendonca menyempurnakan sepakan penalti minit ke-62 buat Kedah.
Shukor pasti tidak mahu skrip
separuh akhir 2015 berulang di mana Kedah menafikan tiket ke final buat FELDA
apabila memenangi aksi timbal balik di Alor Setar 2-1, selepas seri 2-2 pada
perlawanan pertama.
SUMBERArtikel ini disiarkan
pada : Rabu, 18 Oktober 2017 @ 9:24 PM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan