Ahad, 20 Oktober 2019

Selangor, NS rebut bola sepak Sukma


ARKIB : 25/04/1998
SELANGOR dan Negeri Sembilan akan menentukan pingat emas acara bola sepak Sukma VII di Stadium Shah Alam petang esok selepas masing-masing berjaya mengenepikan lawan dalam perlawanan separuh akhir, semalam.
Selangor selaku naib juara pada Sukma di Kuantan dua tahun lalu, menebus kembali kekalahan 1-2 apabila bertindak cemerlang membelasah Pahang 5-0 dalam perlawanan separuh akhir di Stadium Petaling Jaya petang semalam.
Sementara itu, Negeri Sembilan berterima kasih kepada jaringan Mohd Fadley Kassim pada minit ke-81 bagi memastikan kemenangan 4-3 menewaskan Sarawak dalam perlawanan separuh akhir yang lain di Stadium ITM, Shah Alam.
Selangor nyata terlalu unggul buat Pahang, yang merupakan penyadang juara kehilangan punca dengan gerakan- gerakan cantik tuan rumah mendominasi perlawanan sejak wisel bermula.
Seawal minit keenam, Selangor membuka tirai jaringan menerusi Aiman Firdaus disusuli gol kedua jaringan Jaafar Md Salleh pada minit ke-26 bagi kedudukan 2-0.
Pahang yang cuba bangkit mengandakan asakan mencari gol merapatkan jurang tertekan lagi apabila Mohd Ezmij meledakkan jaringan ketiga empat minit sebelum rehat.
Sebaik babak kedua, Pahang terus tenggelam dengan asakan bertubi-tubi kali tuan rumah akhir menyaksikan dua gol lagi menyusul menerusi Shaheful Ardan (minit ke-75) dan Mohd Fareed (84) bagi menutup pesta gol Selangor.
Sementara itu, Mohd Fadley Kassim muncul wira dengan gol kemenangan dicipta sembilan minit sebelum tamat untuk membantu Negeri Sembilan menewaskan Sarawak 4-3.
Sarawak bertindak garang mendahului lawan 2-0 dengan gol dicipta dalam tempoh dua minit menerusi Mohd Za'ari minit ke-33 dan Roziman Romblee 35.
Bagaimanapun Negeri Sembilan kembali bertindak cemerlang apabila Muhamad Shukor merapatkan jurang dengan gol pertama pada minit ke-47 menjadikan kedudukan 1-2.
Lapan minit selepas itu Shahrizan Mohd menyempurnakan sepakan penalti untuk menyamakan kedudukan 2-2. Bagaimanapun Sarawak kembali mendahului semula menerusi jaringan Abang Mohd Nizam bagi kedudukan 3-2.
Bagaimanapun gol pendahuluan itu tidak mampu bertahan lama apabila tujuh minit selepas itu Shahrizan Mohd. sekali lagi bertindak untuk menyamakan kedudukan 3-3.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan