Aziman Rosdi
aziman@hmetro.com.my

KAPTEN FELDA United, Shukor
Adan mengakui Kedah mempunyai pemain tempatan berkualiti apabila masih berjaya
melangkah ke final Piala Malaysia meskipun kehilangan dua tonggak pemain import
pada perlawanan separuh akhir kedua semalam.
Biarpun dua gol yang dihasilkan
Kedah dalam aksi di Stadium Darul Aman menerusi pemain import Brazil Sandro
Mendonca, pasukan tuan rumah masih hebat tanpa pemain perancang Liridon
Krasniqi dan penyerang Ken Ilso.
Skuad kendalian Nidzam Adzha
Yusoff itu hanya menurunkan pemain muda Farhan Roslan dan Syafiq Ahmad bagi
mengisi kekosongan itu dan percaturan itu berjaya membawa mereka layak ke final
buat kali ketiga berturut-turut menerusi agregat 3-1.
PEMAIN FELDA kecewa setelah
tewas kepada Kedah 0-2 pada perlawanan piala Malaysia separuh akhir kedua di
Stadium Darul Aman.FOTO/SHARUL HAFIZ ZAM
“Bagi saya pemain agak kecewa,
apa yang kita buat pada babak pertama tak menjadi, nampak Kedah lebih bagus.
“Saya harus mengucapkan tahniah
kepada pemain Kedah walaupun tanpa pemain import, mereka masih mempamerkan
aksi-aksi yang baik dan masih ada lagi pemain tempatan yang berkualiti,” kata
Shukor.
Kekalahan itu cukup
mengecewakan Shukor, 38, yang mengimpikan final kelapan Piala Malaysia dalam
karier dengan empat kejuaraan.
Dia tidak menafikan tuah tidak
memihak kepada FELDA biarpun bangkit bermain lebih baik pada separuh masa
kedua.
“Selepas mendengar kata-kata
daripada jurulatih Sathianathan ketika rehat, kami bermain dengan lebih baik
pada separuh masa kedua tapi tak ada rezeki untuk menjaringkan gol, peluang
yang kita ada terkena palang dan diselamatkan penjaga gol Kedah,” kata bekas
pemain kebangsaan itu.
SUMBERArtikel ini disiarkan
pada : Ahad, 22 Oktober 2017 @ 1:53 PM