Sukan
Ahad, 31 Julai 2016 | 10:57am
Ejekan perkara biasa buat pemain
bola sepak
Oleh Nazri Abu Bakar
bhsukan@bh.com.my

PEMAIN FELDA United FC, Mohd
Shukor Adan meraikan jaringannya bersama rakan sepasukan dalam perlawanan
menentang Melaka United (MU) di Stadium Hang Jebat, malam kelmarin. - Foto
Muhammad Zuhairi Zuber
MELAKA: Sering diejek 'boo' oleh
peminat Melaka United (MU) setiap kali bola berada di kakinya tidak pernah
diendahkan Mohd Shukor Adan sepanjang 90 minit permainan ketika pasukannya,
FELDA United FC beraksi menentang skuad Hang Tuah di Stadium Hang Jebat, malam
kelmarin.
Apapun, walau dalam keadaan sukar
Shukor bertindak sebagai pemusnah harapan skuad tempat kelahirannya itu untuk
sekurang-kurangnya meraih satu mata dalam saingan Kumpulan D Piala Malaysia
selepas menanduk jaringan kemenangan FELDA United tiga minit sebelum tamat
perlawanan.
Bagi kapten FELDA United itu,
ejekan penyokong adalah asam garam dunia bola sepak kerana peminat akan
meluahkan isi hati mereka dengan pelbagai cara dan apa yang mereka lakukan itu
sekadar untuk menjejaskan rentak permainannya.
"Gol terbabit adalah
jaringan pertama saya dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini. Apa yang
kurang eloknya ia dihasilkan ketika berdepan MU yang juga skuad tempat
kelahiran saya.
"Namun itulah bola sepak,
saya terpaksa lakukan untuk pasukan yang saya wakili. Saya mohon maaf pada
peminat setia MU dan mereka pasti memahami situasi terbabit.
"Rasa cinta dan kasih sayang
saya terhadap skuad Hang Tuah tidak pernah padam walaupun sudah berhijrah lebih
18 tahun meninggalkan skuad yang pernah meletakkan saya mula dikenali sebagai
pemain bola sepak sebelum diintai pasukan lain dan membarisi skuad kebangsaan,"
katanya.
Sebagai pemain veteran dia
sentiasa meminta rakan sepasukan sentiasa kental setiap kali dicemuh peminat
dan memberikan yang terbaik buat mereka.
Shukor berkata, dia dan peminat
bola sepak Melaka mempunyai hubungan yang baik di luar padang dan mengakui
mereka adalah antara yang terbaik dalam memberi sokongan kepada pasukan mereka.[1]
[1] https://www.bharian.com.my/node/178625
Tiada ulasan:
Catat Ulasan