Sukan
Ahad, 21
Disember 2014 | 3:43pm

Saya tidak
akan ubah keputusan, ini kejohanan terakhir - Shukor
RAUT wajah
pertahanan Malaysia dan kapten pasukan, Shukor Adan selepas tumpas kepada
Thailand secara agregat 3-4 pada perlawanan Akhir kedua Piala AFF Suzuki 2014
di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam tadi. - Foto Osman Adnan
KUALA LUMPUR:
Kapten Malaysia, Shukor Adan menegaskan kejohanan Piala AFF Suzuki 2014 kekal
penampilan terakhirnya di pentas antarabangsa dan tidak pernah merancang untuk
mengubah pendirian itu.
Dipilih
jurulatih, Dollah Salleh untuk kembali menyarung jersi Harimau Malaya dengan
lilitan kapten, Shukor, 35 menampilkan persembahan terpuji dan menjadi antara
pemain utama kejayaan Malaysia mara ke final.
Begitupun,
kegagalan skuad negara untuk mempertahankan gawang daripada dibocori Thailand
ketika lapan minit perlawanan final kedua di Stadium Nasional Bukit Jalil,
malam tadi menyaksikan trofi keagungan itu menjadi milik pasukan jiran.
Malaysia
menang perlawanan itu 3-2 namun tewas secara agregat 3-4 kepada Thailand yang
mencatat kemenangan 2-0 pada final pertama di Bangkok, Rabu lepas.
"Saya
perlu bersara," kata Shukor. "Saya memutuskan inilah kejohanan
terakhir saya dan saya tidak mahu mengubah fikiran saya sekarang.
"Saya
kembali kerana hormat saya kepada Dollah Salleh dan bermain untuk negara dan
saya amat bangga untuk melihat peminat sentiasa berada di belakang kami
sepanjang kempen kali ini."
Tambah Shukor,
kemampuan Malaysia untuk melangkah ke final edisi kali ini dan hampir menjulang
trofi membuktikan tindakan Dollah untuk menyenaraikan kembali sepertinya adalah
berbaloi.
"Ada
ramai yang mengkritik keputusan jurulatih (Dollah) kerana membawa masuk ramai
pemain berusia ke dalam pasukan dan saya lega kami memperoleh peluang untuk
membuktikan mereka salah.
"Begitupun,
inilah masanya untuk generasi muda pemain Malaysia untuk tampil dan mengambil
alih," katanya.[1]
Tiada ulasan:
Catat Ulasan