Oleh MUHAMMAD DAYNE AZMIN dan FERZALFIE FAUZI
sukan@utusan.com.my
PEMAIN Negeri Sembilan menjalani latihan terakhir
di Shah Alam semalam sebelum berdepan Terengganu pada final Piala Malaysia hari
ini.
SHAH ALAM - Seperti bermain psikologi, jurulatih Negeri
Sembilan, Mohd. Azraai Khor Abdullah lebih selesa jika pasukannya dilabel
sebagai pasukan underdog.
Sebaliknya, dia menganggap Terengganu sebagai pasukan
pilihan untuk menjulang Piala Malaysia pada final hari ini,
berdasarkan prestasi skuad Penyu musim ini.
Menganggap Terengganu merupakan pasukan terbaik dalam
saingan Liga Malaysia, Azraai berkata, rekod menjuarai Piala FA dan keupayaan
muncul naib juara Liga Super, membuktikan skuad Penyu merupakan pasukan yang
lebih konsisten.
"Terengganu sebuah pasukan yang bagus. Mereka
merupakan juara Piala FA dan naib juara Liga Super. Ia menunjukkan mereka
adalah sebuah pasukan yang mantap.
"Berbanding Negeri Sembilan, kami agak
terumbang-ambing dalam saingan Liga Super dan Piala FA, namun kami tidak mahu
itu dijadikan sebagai alasan bagi menghadapi Terengganu.
"Memandangkan ini merupakan perlawanan akhir, kami
akan memberikan segala-galanya jika mahu menang, tiada lagi pilihan lain,
" kata Azraai pada sidang media sempena perlawanan akhir Piala Malaysia di
Stadium Shah Alam, semalam.
Jika perlawanan berlanjutan ke masa tambahan, Azraai
berkata, mereka sudah bersedia mengharungi apa kemungkinan termasuk penentuan
penalti.
"Kalau boleh saya mahu perlawanan selesai dalam 90
minit tetapi jika itu tidak berlaku, kami bersedia bermain dalam masa tambahan
walaupun Negeri Sembilan mempunyai ramai pemain otai (berusia).
"Perlawanan dengan Felda United pada peringkat suku
akhir kedua telah membuktikan kami mampu bermain dengan baik walaupun bermain
dalam masa tambahan dan mampu muncul sebagai pemenang.
"Kami juga telah bersedia daripada segi mental dan
fizikal seandainya sepakan penalti menjadi pemutus kemenangan antara kedua-dua
pasukan, tidak ada masalah, " katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan