KUALA LUMPUR – Terengganu menjadi pilihan untuk menjulang
Piala Malaysia pada final di Stadium Shah Alam hari ini.
Namun, pengalaman beraksi pada perlawanan akhir serta
dibarisi pemain berpengalaman, menjadikan harapan Negeri Sembilan tidak boleh
diketepikan.
Itu ramalan jurulatih bola sepak negara menjelang aksi
kemuncak bola sepak negara hari ini.
Bagi jurulatih Terengganu, Irfan Bakti, pasukannya
mempunyai rangkaian pemain terbaik untuk menjulang Piala Malaysia buat kali
kedua selepas kali terakhir pada 2001 ketika menewaskan Perak 2-1.
Jurulatih Negeri Sembilan, Mohd. Azraai Khor Abdullah
pula lebih selesa jika pasukannya dilabel sebagai underdog.
Sebaliknya, dia menganggap Terengganu sebagai pasukan
pilihan untuk menjulang Piala Malaysia pada final hari ini, berdasarkan
prestasi skuad Penyu musim ini.
Menganggap Terengganu merupakan pasukan terbaik dalam
saingan Liga Malaysia, Azraai berkata, rekod menjuarai Piala FA dan keupayaan
muncul naib juara Liga Super membuktikan skuad Penyu merupakan pasukan yang
lebih konsisten.
Ketua pasukan Terengganu, Marzuki Yusof pula menyifatkan
kehadiran bekas rakan sepasukannya di Terengganu ketika memenangi Piala
Malaysia 2001, Hairuddin Omar, serta beberapa lagi pemain berpengalaman
menjadikan Negeri Sembilan pasukan yang perlu dihormati.
Ketua pasukan Negeri Sembilan, Shukor Adan berkata,
pengalamannya yang pernah beraksi pada pentas akhir bukan kelebihan.
“Bermain buat kali ketiga berturut-turut dalam perlawanan
akhir Piala Malaysia saya tidak fikir bukan satu kelebihan buat kami.
“Tiap kali perlawanan akhir, ia adalah satu pentas yang
berbeza buat setiap pemain, perasaan gementar itu sentiasa ada sebelum
melangkah ke dalam padang.
“Tambahan berdepan Terengganu yang semakin konsisten dan
mempunyai barisan serangan paling berbisa, perlawanan esok (hari ini) bukan
satu perlawanan yang mudah buat Negeri Sembilan,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan